Bumi diancam 25,000 asteroid - Utusan Malaysia

Bumi diancam 25,000 asteroid

GAMBAR fail dua asteroid di angkasa lepas. - Foto AFP/NASA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Serang saintis di agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) memberi amaran bahawa terdapat hampir 25,000 objek angkasa yang masih gagal dikesan sedang ‘bersembunyi’ berhampiran Bumi.

Walaupun agensi angkasa lepas itu sentiasa memantau batuan ruang angkasa berpotensi membahayakan planet ini, ribuan asteroid yang belum dikesan itu mempunyai keupayaan untuk meratakan sebuah bandar di Bumi. 

Meskipun ia mungkin tidak mencetuskan bencana global secara menyeluruh, impak kemusnahan serantau yang dihasilkan adalah sangat dahsyat.

Ketua Pertahanan Planet di NASA, Kelly Fast mencetuskan kebimbangan selepas mengaku bahawa tiada siapa yang benar-benar bersedia untuk melindungi manusia daripada asteroid kategori ‘pembunuh bandar’ ini.

“Apa yang membuatkan saya tidak lena tidur malam adalah asteroid yang kita tidak ketahui kewujudannya,” kata Fast ketika berucap di Persatuan Amerika untuk Kemajuan Sains.

Menurut beliau, saintis mempunyai data mengenai batuan kecil serta asteroid yang bersaiz sangat besar. Namun, asteroid yang berukuran sekitar 140 meter dan ke atas kekal tersembunyi daripada pandangan mata walaupun berada berhampiran orbit Bumi.

Fast menjelaskan bahawa asteroid bersaiz sebegini mampu menyebabkan kerosakan serantau yang serius berbanding kerosakan global namun masalah utamanya tiada siapa tahu di mana ia berada.

“Dianggarkan terdapat kira-kira 25,000 asteroid jenis tersebut dan kita hanya baru berjaya mengesan sekitar 40 peratus daripadanya,” katanya.

Turut berkongsi kebimbangan adalah pengkaji planet, Dr. Nancy Chabot dari Universiti Johns Hopkins, Maryland. Beliau yang pernah mengetuai misi DART NASA pada 2022, tetap tidak optimis mengenai kemampuan manusia menyelamatkan Bumi daripada ancaman itu buat masa sekarang.

“Kita tidak tahu di mana baki 50 peratus lagi asteroid bersaiz 140 meter ini berada dan ia adalah satu kebimbangan besar. Kita tidak mempunyai cara untuk ‘memesongkan’ (asteroid) tersebut secara aktif pada waktu ini,” kata Chabot. 

Beliau turut mendedahkan bahawa faktor kekurangan dana menyebabkan tiada pelaburan dibuat untuk membina sistem perlindungan Bumi daripada ancaman asteroid tersebut. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN