WASHINGTON: Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mengeluarkan amaran bahawa pusat jisim planet Bumi sentiasa bergerak mengikut perubahan musim, menurut pakar.
Sekumpulan saintis NASA berkata, Bumi sentiasa mengalami pergerakan termasuk perubahan bentuk akibat berat air, ais dan udara.
Kesemuanya dipengaruhi oleh pembekuan pada musim sejuk, pencairan ais pada musim bunga, pergerakan lautan dan perubahan tekanan atmosfera.
Akibatnya, pusat jisim Bumi berputar mengelilingi pusat geometrinya sehingga beberapa milimeter, menurut mereka.
Pergerakan itu boleh menjejaskan ketepatan data satelit dan sistem navigasi.
“Walaupun pergerakan ini mungkin kelihatan kecil, dunia moden kita bergantung pada ukuran kedudukan yang sangat tepat,” kata penulis bersama kajian, Felix Landerer dari Makmal Penggerak Jet NASA.
“Dengan mengenal pasti dan memahami mekanisme yang mengubah sistem rujukan, kita boleh membangunkan sistem rujukan lebih baik, sekali gus memberi manfaat kepada pemetaan serta navigasi daripada logistik perkapalan global hingga pertanian berketepatan tinggi,” tambahnya.
Dalam kajian yang diterbitkan dalam Geophysical Journal International, penulis utama, Donald Argus dan pasukannya membangunkan teknik baharu untuk mengesan saiz pergerakan pusat jisim Bumi berdasarkan penjejakan satelit berketepatan tinggi.
Mereka menggabungkan penjejakan Sistem Kedudukan Sejagat GPS dan data orbit daripada beberapa satelit lain di orbit Bumi rendah bagi menyediakan pelbagai sasaran untuk penjejakan.
Kaedah itu turut mengambil kira bagaimana berat air dan ais boleh menyebabkan kerak Bumi berubah bentuk dan bagaimana perubahan itu boleh turut menjejaskan stesen planet tersebut.
Para saintis mengesan pusat jisim Bumi berayun mengikut musim dan berkata, keadaan itu berkemungkinan disebabkan perubahan pada lautan, atmosfera serta air di daratan benua sepanjang bulan-bulan berkenaan.
Kesan dripada perubahan bebanan berkenaan menyebabkan pusat jisim Bumi berputar dan berganjak dari pusat geometri asal planet sehingga beberapa milimeter.
Meskipun julat pergerakan tersebut kelihatan kecil, pakar memberi amaran bahawa pergeseran berkenaan berupaya mencetuskan ralat berantai pada sistem navigasi dan pengukuran kedudukan berpresisi tinggi yang menjadi tonggak pelbagai sektor moden hari ini.
Pendedahan terbaharu oleh sekumpulan pakar saintis NASA mengesahkan bahawa permukaan dan struktur planet ini sentiasa mengalami proses mampatan dan lenturan akibat perubahan bebanan jisim air, ais serta tekanan atmosfera mengikut perubahan musim.
Fenomena semula jadi tersebut dipengaruhi secara berterusan oleh pembekuan musim sejuk, pencairan ais pada musim bunga, pergolakan arus lautan serta dinamik pergerakan atmosfera. – AGENSI











