WASHINGTON: Agensi Pentadbiran Penerbangan dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) secara rasmi mengisytiharkan kapal angkasa tanpa pemandu MAVEN kini gagal diselamatkan atau ‘mati’ selepas ia terputus hubungan secara misteri sejurus selesai mengimbas sebuah komet di angkasa, 3I/ATLAS.
Menurut NASA, ia mengesahkan bahawa kapal angkasa bernilai AS$583 juta (RM3.4 bilion) itu langsung tidak lagi dapat menjalankan sebarang fungsi saintifik mahupun menghantar semula data ke bumi.
Siasatan awal menunjukkan bahawa kapal angkasa yang telah mengorbit Marikh sejak 2014 itu mula berputar di luar kawalan pada kelajuan yang luar biasa secara pelik.
Isyarat terakhir daripada MAVEN dikesan pada 6 Disember tahun lalu ketika ia bergerak ke bahagian belakang Planet Merah semasa sedang menjejak komet 3I/ATLAS.
Pakar astronomi percaya bahawa putaran pantas yang tidak dijangka itu telah menyebabkan bekalan bateri kapal angkasa kering sepenuhnya, sehingga melumpuhkan sistem komunikasi secara menyeluruh.
Sebelum mengalami kegagalan fungsi, MAVEN sempat merakam koleksi foto dari jarak 29 juta kilometer semasa objek bergerak pantas itu melintasi Marikh pada Oktober tahun lalu. Namun, hasil imej tersebut menerima kritikan meluas kerana kualitinya yang sangat kabur.
Walaupun terdapat spekulasi yang timbul tentang identitinya, barisan saintis daripada NASA dan Agensi Angkasa Eropah (ESA) menyatakan bahawa objek terbabit hanya sebuah komet jarang ditemukan yang mempunyai komposisi kimia unik.
Ia kebetulan melintasi sistem suria kita secara rawak dan mengesahkan tiada sebarang tanda hidupan dikesan daripada objek berkenaan.
Bagaimanapun, Profesor dari Universiti Harvard, Avi Loeb dilaporkan tetap mempertahankan pendiriannya bahawa objek 3I/ATLAS mempamerkan terlalu banyak keanehan.
Beliau menolak sepenuhnya kemungkinan bahawa ia dihantar oleh suatu entiti hidupan pintar yang tidak dikenali.
Pada Mei lalu, Loeb yang juga merupakan Pengarah Projek Galileo iaitu badan yang memfokuskan kepada pencarian tanda-tanda hidupan luar angkasa mendedahkan bahawa objek 3I/ATLAS dikesan melepaskan gas metana pada kadar jumlah sangat mengejutkan. – AGENSI










