KAMPAR: Kebiasaannya apabila menyebut masakan masyarakat Jawa, pasti ramai yang akan terfikir nasi ambeng dan lontong.
Namun, ramai terutama generasi muda yang kurang mengenali juadah istimewa yang dikatakan berasal dari Jawa Timur, Indonesia iaitu punten.
Menurut Noraizah Jailani, 45, dia mempelajari resipi untuk menghasilkan punten daripada nenek dan moyangnya.
“Masyarakat Jawa merupakan bangsa yang suka mengembara dan berhijrah. Jika menurut orang tua, resipi asal punten berasal dari Jawa Timur.
“Mereka yang berhijrah di negara ini tetap membuatnya dari generasi ke generasi dengan mempelajari resipinya daripada orang lama (orang tua).
“Mungkin ada sedikit perubahan dari segi bahan-bahan asasnya tetapi tidaklah begitu ketara sehingga menghilangkan keasliannya. Janganlah sampai dicampur coklat atau keju leleh, lain pula jadinya,” katanya ketika ditemui di Kiosk Mambang Food, Kampung Tengah, Sungai Lesong di sini, semalam.
Katanya, punten sebenarnya mempunyai tekstur seakan-akan nasi impit dan lazimnya dimakan bersama sambal hijau ikan bilis.
“Bahan-bahan untuk menghasilkannya agak mudah iaitu beras, air, garam, gula, ikan bilis, santan dan kelapa parut,” katanya.
Ujarnya lagi, satu bekas mengandungi lima biji punten bersama sambal ikan bilis, dijual dengan harga RM3.50.
“Ramai yang gemar terutama masyarakat Jawa yang gemar menikmati punten semasa berbuka puasa atau sahur,” katanya.
Tambahnya, dia mampu menjual kira-kira 50 bekas punten setiap hari semasa Ramadan.
“Saya juga ada menerima tempahan untuk majlis moreh dan Hari Raya Aidilfitri nanti, syukur sebagai pendapatan tambahan dan dapat membantu suami,” katanya. – UTUSAN










