Tahanan Palestin disekat makanan, ibadah di penjara

Tahanan Palestin disekat makanan, ibadah di penjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ribuan rakyat Palestin termasuk lebih 70 wanita dan lebih 350 kanak-kanak yang ditahan di beberapa penjara Israel dilaporkan menghadapi sekatan terhadap akses makanan serta keupayaan untuk menunaikan ibadah sepanjang bulan Ramadan.

Kedutaan Palestin berkata, laporan menunjukkan bahawa akses makanan yang disediakan untuk berbuka puasa kadangkala dirampas atau dibuang oleh pihak berkuasa penjara.

Katanya, tindakan sedemikian menyebabkan tahanan Palestin kekurangan akses makanan untuk menampung keperluan meneruskan kehidupan selepas berpuasa.

“Bagi kebanyakan kes, makanan yang diberikan jauh lebih rendah daripada keperluan nutrisi untuk seseorang individu terutama bagi mereka yang menjalani ibadah puasa.

“Ini kerana mereka yang berpuasa memerlukan pengurusan pengambilan makanan secara teliti sehingga mengakibatkan penurunan berat badan yang ketara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kedutaan Palestin berkata, selain sekatan akses makanan, laporan turut mendedahkan wujudnya batasan terhadap keupayaan tahanan untuk melaksanakan ibadah sepanjang bulan Ramadan termasuk solat berjemaah.

Katanya, menurut Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan, banduan atau rakyat Palestin yang ditahan di Penjara Ofer, Israel tidak menerima sebarang pengumuman atau pemberitahuan mengenai waktu solat.

“Ketiadaan maklumat asas ini menimbulkan kekeliruan dalam kalangan tahanan yang berusaha menunaikan kewajipan untuk solat khususnya berkaitan waktu sahur dan berbuka puasa yang merupakan komponen penting dalam ibadah puasa.

“Sekatan ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal tahanan, malah mengehadkan kebebasan mereka untuk menunaikan ibadah secara sempurna sepanjang bulan yang mulia ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN