RAMALLAH: Israel terus bertindak agresif di Tebing Barat selepas masjid di Kampung Duma, selatan Nablus, dibakar oleh penduduk Yahudi kelmarin, manakala beberapa rakyat Palestin ditangkap pasukan rejim Zionis di wilayah diduduki itu.
Media melaporkan, kumpulan pelampau Yahudi itu sempat melakukan vandalisme dengan menulis slogan perkauman dalam bahasa Ibrani pada dinding Masjid Mohammad Fayyadh sebelum membakarnya.
Bagaimanapun, kebakaran tersebut berjaya dikawal oleh penduduk sebelum ia memusnahkan keseluruhan bangunan.
Serangan berlaku pada 10 hari terakhir Ramadan, yang biasanya dimanfaatkan oleh umat Islam untuk beribadah di masjid.
Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin memberi amaran terdapat corak pembakaran masjid di Tebing Barat sepanjang Ramadan.
Ia menyifatkan serangan terbaharu itu sebagai tindakan ‘pencabulan’ dan sebahagian daripada rancangan sistematik Israel untuk merampas tanah Palestin.
Aktivis tempatan, Suleiman Dawabsheh, memberitahu pemberita bahawa penduduk Yahudi memasuki kampung tersebut sebelum subuh untuk melancarkan serangan, namun anggota pertahanan awam berjaya menghalang kebakaran daripada merebak.
Suleiman berkata, kebakaran itu menyebabkan pintu masjid hangus, manakala asap memenuhi ruang solat, selain merosakkan bahagian hadapan masjid.
Perkembangan berlaku di tengah serbuan dan penahanan tentera Israel di seluruh Tebing Barat.
Tentera Israel menyerbu bandar Anata, timur Baitulmuqaddis dan al-Sawahra, tenggara Baitulmuqaddis pada awal Rabu. Beberapa rumah diserbu dan seorang remaja berusia 13 tahun turut ditahan.
Selain itu, tentera Israel menyerbu kampung Deir Abu Deif, timur laut Jenin, pada Khamis, dengan bangunan kampung menjadi sasaran dan beberapa penduduk ditahan.
Menurut agensi berita Wafa, tentera Israel turut menyerbu kediaman pelajar berhampiran Universiti Amerika di bandar Zababdeh, yang kini menempatkan penduduk yang dipindahkan dari kem pelarian Jenin. – AGENSI










