Malaysia-Jerman senada gesa gencatan senjata di Gaza - Utusan Malaysia

Malaysia-Jerman senada gesa gencatan senjata di Gaza

Anwar Ibrahim berkongsi detik berbuka puasa dengan buah kurma bersama Canselor Jerman, Olaf Scholz di Jerman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dan Jerman senada menggesa gencatan senjata kekal dilaksanakan di  Semenanjung Gaza selain pembebasan tawanan dan membenarkan penghantaran  bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin disegerakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Canselor Jerman, Olaf Scholz membuat gesaan tersebut selepas kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan dua hala di Canselori Persekutuan, Jerman hari ini.

Menurut Anwar, kedua-dua pihak juga bersetuju peperangan di Gaza  perlu ada titik noktah yang sudah berlanjutan selama beberapa dekad.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami juga menggesa agar gencatan senjata kekal dilaksanakan di Gaza selain pembebasan tawanan manakala bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin disegerakan.

“Kedua-dua pihak juga bersetuju bahawa perlu ada titik noktah terhadap konflik yang sudah berlanjutan selama beberapa dekad,” katanya dalam sidang akhbar bersama.

 Anwar kini dalam rangka lawatan rasmi enam hari ke Jerman.

DETIK

Sementara itu, Perdana Menteri menerusi Facebooknya berkongsi detik berbuka puasa dengan buah kurma bersama Canselor Jerman itu sebelum kembali menyambung perbincangan berkaitan kedua-dua negara.

Mengulas hubungan dengan Hamas, Anwar berkata, Malaysia mempunyai hubungan dengan sayap politik itu namun menegaskan tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan militan.

Katanya, dasar luar Malaysia  konsisten dan menentang apartheid serta pembersihan etnik.

Beliau berkata, kekejaman  berdekad-dekad juga tidak boleh dipadamkan dengan hanya melihat kepada sebelah pihak termasuk pembunuhan wanita dan kanak-kanak.

Selain isu Palestin, Perdana Menteri berkata, beliau dan rakan sejawatnya itu turut membincangkan kemajuan hubungan Malaysia-Jerman terutamanya membabitkan kerjasama ekonomi, pendidikan, alam sekitar, eksport minyak sawit dan kelestarian selain isu global yang mempunyai kepentingan bersama.

“Menerusi pertemuan tersebut Malaysia berharap dapat menjalinkan kerjasama yang lebih luas, bukan sahaja dalam meningkatkan perdagangan dan pelaburan, malah untuk memperkukuh hubungan dua hala dalam semua bidang,” katanya.

Anwar kemudian mengalu-alukan lebih banyak pelabur Jerman untuk memanfaatkan lokasi Malaysia yang strategik di Asia Tenggara sebagai destinasi pelaburan pilihan.

Ekonomi ketiga terbesar di dunia itu adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah sejak tahun 2000 manakala Malaysia pula merupakan rakan perdagangan terbesar bagi Jerman dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Pada 2023, nilai dagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 5.9 peratus kepada RM63.45 bilion (AS$13.90 bilion) berbanding RM59.87 bilion (AS$13.62 bilion) pada 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini