GUA MUSANG: Pengusaha kuih akok raja mampu ‘bertahan’ dan menjualnya 80 sen sebiji meskipun berdepan peningkatan harga kos bahan mentah terutama telur ketika ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengusahanya, Arisuani Ahmad, 49, berkata, sepanjang minggu pertama bulan Ramadan kali ini, harga telur gred AA telah meningkat kepada RM17 berbanding RM15.50 sebelum ini.
“Kami kesian kepada pembeli serta penggemar kuih akok raja dan masih cuba bertahan biarpun mendapat untung sikit saja,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Bagaimanapun, dia bersyukur apabila permintaan terhadap kuih akok raja meningkat hampir dua kali ganda pada bulan Ramadan berbanding hari biasa.
Katanya, sepanjang Ramadan setakat ini, dia mampu menjual 5,000 biji sehari berbanding 2,000 pada hari biasa.
Selain telur, Arisuani turut berdepan kenaikan harga arang, iaitu RM5 untuk satu beg plastik seberat satu kilogram.
“Sejak 30 tahun lalu, saya gemar menggunakan arang kayu untuk menghasilkan kuih akok raja walaupun ramai peniaga lain menggunakan peralatan elektrik.
“Kaedah membakar secara tradisional menggunakan arang kayu bukan sahaja menaikkan aroma bancuhan akok raja yang digunakan tetapi turut menjadikan permukaan kuih lebih garing,” ujarnya.
Dia berkata, akok raja dijualnya merupakan resipi turun-temurun keluarga yang menetap di Pasir Mas. – UTUSAN










