SEREMBAN: Kegagalan mempertahankan Piala Sumbangsih minggu lalu tidak menjejaskan tumpuan pasukan hoki wanita Negeri Sembilan apabila membenamkan MSP-PHP-SSNP, 5-0, dalam saingan Liga Hoki Malaysia TNB 2024 di Stadium Hoki Seremban 2, di sini petang tadi.
Pasukan tuan rumah bermula dengan yakin apabila memperoleh dua gol dalam suku pertama perlawanan melalui Zaty Alyani Muhamad Zubir dan ketua pasukan, Fazillah Sylvester Silin masing-masing pada minit ke-3 dan ke-8 perlawanan.
Dua gol itu terus membakar semangat Negeri Sembilan untuk mengukuhkan kedudukan dalam carta kumpulan dengan dua kemenangan dan satu seri sebelum ini.
Namun MSP-PHP-SSNP di bawah bimbingan jurulatih, Mohd. Sabri Mohamad enggan menyerah mudah sebaliknya gigih mencari peluang mengasak kubu lawan.
Negeri Sembilan yang meraih juara treble musim lalu terus menyaingi pasukan lawan. Hasilnya, pasukan itu memperoleh gol ketiga pada minit ke-16 melalui Surizan Awang Noh.
Ketika pasukan pelawat menemui jalan buntu untuk mendapatkan gol, pemain import Negeri Sembilan dari China, Li Meiling mempamerkan keupayaan dengan menjaringkan dua gol pada minit ke-18 dan 35.
Pada suku keempat, kedua-dua pasukan yang sudah menemui rentak permainan saling berbalas serangan namun kecemerlangan penjaga gol MSP-PHP-SSNP, Nur Qistina Syamimi Mohamad Rozlan menafikan beberapa percubaan Negeri Sembilan daripada membolosi pintu golnya.
Manakala jentera serangan pasukan pelawat gagal memanfaatkan beberapa peluang di depan pintu gol Negeri Sembilan.-UTUSAN.










