Klang menuju bandar raya diraja

Klang menuju bandar raya diraja

YANG Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Datin Paduka Noraini Roslan meninjau kerja-kerja menaik taraf laluan pejalan kaki dan pencahayaan di sekitar bandar Klang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Majlis Perbandaran Klang (MPK) sudah bersedia untuk dinaik taraf sebagai bandar raya diraja dalam masa terdekat berikutan kemampanan pentadbiran yang diterapkan sejak dulu.

Pemasyhuran yang akan diperkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bakal menjadikan pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut satu-satunya yang mempunyai status diraja di negara ini.

Malah, ramai tidak mengetahui bahawa MPK adalah antara 20 PBT terbaik di Malaysia dalam Penarafan Bintang sejak 2008 dengan penilaian pada dua tahun lalu mendapat markah keseluruhan 96.39 peratus.

KEWANGAN

Lebih membanggakan adalah MPK telah 25 tahun berturut-turut memperoleh Sijil Bersih Audit dalam tadbir urus kewangan.

Menurut Jabatan Komunikasi Korporatnya, MPK yang ditubuhkan sejak 1890 memenuhi semua kriteria bagi mencapai status bandar raya pada usia 133 tahun.

Katanya, penaiktarafan Klang sebagai bandar raya ke-20 itu di negara ini dan keempat di Se­langor bermaksud MPK mempunyai kekuatan kewangan untuk menyediakan perkhidmatan perbandaran efisien, berkualiti serta bertaraf antarabangsa bagi me­ningkatkan daya huni dan kese­jahteraan penduduk Klang.

“MPK telah me­lakukan persediaan untuk dinaik taraf ke bandar raya sejak tahun 2006.

“Ini memandangkan kita sudah lama memenuhi kriteria sebagai bandar raya dengan pendapatan sudah melebihi RM300 juta sejak beberapa tahun lalu, selain jumlah penduduk setakat ini le­bih 902,000 orang.

“Klang juga mempunyai Pelabuhan Klang iaitu pelabuhan utama yang menjadi pemangkin ekonomi bukan sahaja di ­Se­l­angor, malah di Malaysia.

NORAINI Roslan menerima Anugerah Kepimpinan PBT Terbaik (Perbandaran) pada Anugerah Kecemerlangan Menteri KPKT 2023 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Justeru, berdasarkan kriteria tersebut, Klang selayaknya dinaik taraf kepada bandar raya yang bakal menjadi kebanggaan buat warga daerah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Kata MPK, pelbagai program telah dilaksanakan secara berte­rusan, antaranya program komuniti strata, hari tanpa kenderaan, kebun komuniti, kejiranan, penanaman pokok, kitar semula dan penjagaan sungai selaras mencapai matlamat pembangunan mampan (SDG).

“Selain itu, program lain yang rancak berjalan ialah projek berdaya huni, MyPlace, Lorong Basikal, Pejalan Kaki, Bandar Pintar, Bandar Selamat dan Rejuvenasi Bandar.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi program Sentuhan Kasih juga telah meluluskan 21 projek berjumlah RM5 juta termasuk projek naik taraf Pasar Pelabuhan Klang, Jalan Goh Hock Huat (Jalan Keretapi Lama), laluan pejalan kaki dan basikal di Jambatan Kota serta membina tandas awam moden,” katanya.

Jelas MPK, seiring itu juga sebanyak RM35 juta telah diperuntukkan untuk projek rejuvenasi atau pembaharuan dan pembinaan fizikal di beberapa kawasan di Klang tahun ini.

“Malah, MPK juga memfokuskan peruntukan sebanyak RM212 juta dalam bajet tahun ini ­melibatkan kebersihan alam sekitar dan kesihatan awam, penyelenggaraan parit, penyelenggaraan jalan serta pengindahan selain landskap dan rekreasi,” tegasnya.

Dalam mendepani cabaran status Bandar Raya Diraja, MPK juga telah menyedia dan menyusun pelan tindakan lima tahun bermula tahun ini sehingga 2028 bagi memantapkan pentadbirannya demi kesejahteraan rakyat Klang.

MPK menjelaskan, ini adalah selaras visi Klang Bandar Raya Warisan Diraja yang mampan dengan melaksanakan perkhid­matan berkualiti, berintegriti serta tadbir urus dan perancangan bandar yang holistik dengan mengutamakan elemen warisan dan sejarah.

“Kita menyedari antara isu perbandaran yang kerap berlaku di Klang seperti banjir dan penyakit seperti demam denggi dan sudah membuat perancangan kawalan pembangunan sedia yang diterjemahkan dalam bentuk projek dan program,’’ kata MPK. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya