YDP MPK mohon maaf, terima segala teguran - Utusan Malaysia

YDP MPK mohon maaf, terima segala teguran

AFFENDI RAJINI KANTH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth memohon maaf dan mengambil tanggungjawab penuh atas tindakan serta reaksi beliau semasa Program Perlis Mendengar Rintihan Rakyat yang tular di media sosial baru-baru ini.

Beliau menyedari rakaman video yang tular sebelum ini telah membangkitkan rasa kurang senang, kecewa dan menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat.

Katanya, beliau tidak pernah berniat memperlekehkan, mempersenda atau memandang ringan mana-mana pandangan, bagaimanapun tindakan dan reaksinya ketika itu menimbulkan persepsi tidak baik.

“Saya dengan penuh rasa rendah diri memohon maaf kepada semua pihak terkesan. Sebagai YDP MPK dan urusetia program, saya menerima segala teguran dan pandangan diberikan itu dengan hati terbuka tanpa prejudis,” katanya di sini hari ini.

Affendi berkata, sebagai seorang pemimpin dan penjawat awam bukan hanya perlu bekerja dengan baik namun seharusnya memiliki kesabaran serta kebijaksanaan dalam mengurus emosi sewaktu berhadapan dengan rakyat.

Katanya, insiden tersebut juga menjadi pengajaran besar buat dirinya untuk lebih matang, berhati-hati dan menghormati sensitiviti masyarakat pada masa akan datang.

“Saya juga merakamkan penghargaan buat semua pihak yang menegur, menasihati dan mengingatkan saya secara baik. Teguran tersebut saya terima sebagai ruang muhasabah untuk memperbaiki kelemahan diri serta memperkukuhkan mutu perkhidmatan MPK kepada rakyat,” katanya.

Beliau juga akan memastikan insiden itu dapat dijadikan pengajaran penting dalam memperbaiki perkhidmatan MPK pada masa akan datang.

“Program Perlis Mendengar Rintihan diwujudkan sebagai platform untuk rakyat menyampaikan suara, keluhan dan harapan mereka secara terus kepada kerajaan negeri. Setiap aduan, pandangan dan cadangan dibangkitkan akan diberikan perhatian serius,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN