KANGAR: Majlis Perbandaran Kangar (MPK) secara rasmi diwartakan sebagai Majlis Perbandaran Negeri Perlis (MPNPs) berkuatkuasa pada 16 Julai lalu.
Perwartaan dikuatkuasakan setelah mendapat kelulusan penuh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth berkata, pada masa ini, beberapa proses sedang giat dilaksanakan melibatkan penjenamaan dan penyusunan semula struktur pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.
“Penjenamaan ini merangkumi pelbagai aspek pentadbiran termasuk pertukaran nama pada bangunan, akaun bank, serta penstrukturan penjawatan rasmi seperti Yang Dipertua dan ahli majlis.
“Tanggungjawab penjenamaan semula itu terletak di bawah pihak kami dan kita akan memaklumkan perkara ini kepada Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) serta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi tujuan penyelarasan penjawatan,” katanya di sini semalam.
Affendi berkata, pihaknya berharap pewartaan dan penjenamaan semula PBT itu dapat mengembangkan lagi inisiatif untuk memperkasakan MPNPs secara total serta holistik.
Katanya, MPNPs juga berhasrat untuk memperkasakan pejabat cawangan di Arau, Padang Besar dan Kuala Perlis bagi memudahkan urusan penduduk sekitar kawasan itu.
“Antara penambahbaikan dijangka dilaksanakan adalah membabitkan penurunan kuasa bagi proses permohonan dan kelulusan lesen perniagaan di peringkat cawangan.
“Melalui penjenamaan ini, kita merancang menempatkan pegawai Gred 41 bertaraf pengarah di setiap cawangan supaya kelulusan lesen boleh dibuat secara terus tanpa perlu melalui ibu pejabat, sekali gus mempercepatkan proses dan rakyat tidak lagi terbeban,” katanya.
Ditanya mengenai penubuhan PBT di Padang Besar, beliau berkata, fokus kerajaan negeri ketika ini adalah untuk memperkasakan MPNPs terlebih dahulu sebelum menilai keperluan lain.
Katanya, penubuhan sebuah majlis perbandaran baharu memerlukan penyediaan jentera yang besar selain implikasi kewangan tinggi terhadap kerajaan negeri.
“Bagi menubuhkan PBT baharu, ia memerlukan pelantikan sekurang-kurangnya 24 ahli majlis, seorang Yang Dipertua baharu, serta kakitangan pentadbiran yang mana membabitkan pembayaran gaji dan elaun,” katanya.-UTUSAN










