Timbul provokasi ke atas YDP MPK, keluar kata kesat, DSA diambil keterangan - Ahmad Mohsin - Utusan Malaysia

Timbul provokasi ke atas YDP MPK, keluar kata kesat, DSA diambil keterangan – Ahmad Mohsin

TANGKAP layar video Program Perlis Mendengar Rintihan Rakyat di sebuah inap desa pada Sabtu lalu yang didakwa bertukar kecoh di Arau, Perlis.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Polis mengambil keterangan pempengaruh media sosial, Datuk Dr. Syed Azuan Al-Idrus,55, atau dikenali sebagai DSA berhubung kekocohan semasa program dialog Perlis Mendengar Rintihan Rakyat.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, ia bagi membantu siasatan selepas polis menerima laporan berhubung provokasi dan gangguan awam ditimbulkan pempengaruh media sosial berkenaan semasa majlis rasmi kerajaan negeri di sebuah inap desa, di sini pada Sabtu lalu.

Ahmad Mohsin berkata, berdasarkan laporan, program itu telah dihadiri dan dipengerusikan Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Marzita Mansor dan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kanga (MPK), Affendi Rajini Kanth bagi sesi dialog antara pemimpin bersama rakyat.

“Ketika sesi soal jawab berlangsung, Syed Azuan dikatakan secara lantang telah bertanyakan beberapa soalan berkenaan isu di Perlis namun tidak dapat mengawal emosinya lalu berjalan ke hadapan pentas dan mengeluarkan kata-kata kesat seperti ‘lahanat’ yang ditujukan kepada YDP MPK sambil disaksikan oleh orang awam.

“Lelaki tersebut bagaimanapun berjaya dihalang dan ditenangkan oleh pihak penguasa dan dibawa keluar,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial klip video memaparkan kekecohan semasa program Perlis Mendengar Rintihan Rakyat di mana Syed Azuan tampil mempersoal beberapa perkara termasuk pelaksanaan sistem parkir pintar, pengurusan sampah dan dakwaan melibatkan integriti pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ahmad Mohsin berkata, menerusi hasil rakaman percakapan, pengadu meluahkan ketidakpuasan hati dan kekecewaan terhadap Syed Azuan yang tidak menghormati barisan pemimpin tertinggi dan majlis rasmi kerajaan negeri.

Katanya, pengadu juga mendakwa Syed Azuan telah mempersoalkan berkenaan isu smart parking, sambungan kontrak YDP MPK dan kutipan sampah terhadap panel, malah Menteri Besar juga telah memberikan penerangan jelas atas semua persoalan dikemukakan namun pihak terlibat masih tidak berpuas hati.

“Pihak terlibat dikatakan tidak berpuas hati kerana soalan ditujukan tidak dijawab sendiri oleh YDP MPK. Disebabkan itu, dia (Syed Azuan) tidak dapat mengawal emosi dan mengeluarkan perkataan ‘lahanat’ kepada YDP MPK dan bertindak dalam keadaan marah menuju ke hadapan pentas seolah-olah mencabar YDP MPK, namun berjaya dihalang,” katanya.

Ujarnya, hasil penelitian pegawai penyiasat kes, program itu dianggarkan dihadiri sekitar 50 orang awam termasuk 13 agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Program tersebut bertujuan bagi memberikan pendekatan dan penekanan khusus terhadap DUN Pauh namun orang awam juga dijemput hadir bagi menghadiri majlis tersebut. Suspek mengambil peluang menghadiri majlis tersebut dan menimbulkan provokasi ke atas YDP MPK di atas kapasiti sebagai seorang rakyat negeri Perlis dan menimbulkan beberapa isu politik dalaman,” katanya.

Katanya, Syed Azuan juga telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai memberi keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN