Mahut gadai nyawa demi gajah

Mahut gadai nyawa demi gajah

MUHAMMAD Suhairi Ishak dan Rambai, menunjukkan cara mereka memindahkan gajah dari hutan untuk dibawa ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) di Kuala Gandah, Lanchang, Pahang. -UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Tugas sebagai mahut ataupun penjinak gajah bukan mudah. Risikonya boleh menggadai nyawa jika dipijak oleh haiwan yang kebiasaannya memiliki saiz tapak kaki sehingga 17 inci dan berat antara tiga hingga lapan tan bagi seekor gajah dewasa jantan.

Gajah yang dijinakkan dikenali sebagai denak adalah haiwan yang dilatih oleh mahut digunakan untuk membantu operasi pemindahan gajah liar yang mengganggu ketenteraman atau membahayakan ke­selamatan orang awam.

Peranan gajah denak turut digunakan dalam operasi pemindahan anak gajah yang di­selamatkan.

TANGKAPAN

Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah dipertanggungjawabkan untuk menjalankan program tangkapan dan juga penempatan se­mula gajah liar yang menghadapi konflik.

GAJAH denak, Rambai menunjukkan kepada pengunjung bagaimana haiwan itu tidur.

Seseorang mahut tidak hanya bertugas sebagai pengasuh de­ngan memberi makan, memandikan dan melatih gajah, malah perlu setiap hari memantau kesihatan serta merawat jika haiwan itu tidak sihat.

Seekor gajah biasanya dijaga dan dilatih oleh seorang atau dua orang mahut sahaja bagi mewujudkan persefahaman antara penjinak dengan gajah peliharaan.

Selain mengendalikan gajah asuhannya, mahut juga berdepan tugas cukup mencabar apabila perlu turun ke lapangan bagi mencari dan menangkap gajah liar.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd. Zamzuri Chik Wan Ab. Rahman berkata, teknik menjinakkan gajah yang dipelajari mahut di sini dilatih pengembala dari Assam, India yang dibawa masuk bersama empat gajah denak iaitu Lal Bahadul, Paul Bahadul, Ganesh dan Lokimala.

“Teknik latihannya menggunakan teknik melasikar atau lasso iaitu teknik menangkap gajah menggunakan tali lasso atau tali jerut,” katanya di sini semalam.

TEKNIK

Sejak 1974, teknik tangkapan gajah diperbaiki dan pada 1975, ubat pelali digunakan manakala penggunaan rantai besi diper­kenalkan pada 1985, sebelum penubuhan pusat operasi tetap di Kuala Gandah pada 1989.

Sejak 1974 sehingga kini, kira-kira 1,143 ekor gajah berjaya menjalani proses translokasi di mana program pemindahan atau translokasi gajah pertama adalah pada 11 Mei 1974 di Felda Jengka 7, Pahang.

Mengulas lanjut, Che Ku Mohd. Zamzuri berkata, cabaran mahut ketika bertugas dalam operasi melibatkan hidupan liar ini adalah mengalami kece­deraan atau maut pada bila-bila masa.

Selain perlu mengambil risiko berhadapan dengan mamalia darat terbesar itu, mahut juga perlu menguasai ‘bahasa’ gajah untuk menjinakkannya.

Risiko yang perlu dihadapi mahut adalah mereka perlu berada di bawah gajah yang ditangkap untuk membuka rantai di kaki haiwan berkenaan.

Unit Tangkapan Gajah menangkap dan memasang rantai pada kedua-dua kaki hadapan haiwan itu.

DENAK

Setelah pelali ditembak, kita akan memotong rantai tersebut sebelum haiwan itu diapit dua ekor gajah denak, ia merupakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ketika proses menjinakkan pula, ada bahasa tertentu yang perlu dikuasai oleh mereka yang bergelar mahut.

Mohd. Rezha Rosli, 34, berkata, setiap mahut juga perlu mahir dalam memberikan arahan kepada gajah-gajah separuh jinak itu melalui bahasa dan sentuhan.

“Bahasa yang digunakan adalah bahasa Kuala Gandah yang dicampur bahasa Siam, India dan Myanmar.

“Lebih kurang 13 perkataan digunakan untuk bercakap de­ngan gajah ini antaranya se­perti hing (bahasa Siam) bermaksud jalan, boiat (bahasa India) duduk dan mek (duduk) bahasa Myanmar,” katanya.

GAJAH denak, Abot menunjukkan kemahiran mengambil duit siling 50 sen di atas lantai ketika pertunjukkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah.

Beliau yang sudah 13 tahun menjadi mahut berkata, pe­ngalaman yang tidak akan dilupakan olehnya adalah dikejar gajah liar ketika operasi menangkap haiwan itu di Taman Negara, Jerantut pada 2012.

Mahut wanita di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Norain Saudi, 34, pula berkata, jatuh dari gajah, disepak dan dilibas dengan belalai adalah perkara biasa.

“Tiada ilmu ataupun unsur mistik berkenaan gajah. Apa yang penting kemahiran dan juga persefahaman antara mahut dan gajah. Mahut perlu sentiasa memiliki sifat kasih dan sayang di antara manusia dan haiwan,” katanya.

RISIKO

Bekas mahut yang berpe­ngalaman 41 tahun bersama dengan gajah, Saudi Sidek, 64, berkata, antara cabaran utama mahut semasa operasi pemindahan gajah ialah faktor bentuk muka bumi, keadaan hutan yang mengehadkan pergerakan dan risiko serangan gajah.

“Anggota yang terlibat dalam operasi itu perlu cergas, komi­ted dan memahami perilaku gajah bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku,” katanya.

Beliau berkata, peristiwa pahit yang dialaminya pernah ditusuk gading ketika sang rimba itu dalam keadaan marah, bagaimanapun ia tidak parah tetapi masih berbekas sehingga kini.

“Pengalaman menunggang gajah denak buta ketika diminta bertugas selama 34 hari di Viet­nam dan berjaya menangkap lapan ekor gajah liar di negara itu turut menjadi kenangan,” katanya.

Mahut membawa gajah mereka ke tempat pengasingan.

Ditanya bagaimana gajah boleh naik angin, beliau berkata, jika melibatkan gajah liar, haiwan itu hanya akan mengamuk sekiranya dikacau.

CEKAL

“Gajah liar ini tidak akan mengamuk jika tidak dikacau, jangan berani tak bertempat, gajah bukan lawan kita. Kalau dah berlaku situasi ini 50-50, perlu cekal hati, mematikan diri buat seketika dan apa yang penting, jangan duduk atas laluannya.

“Kalau gajah denak, biasanya naik angin bila turun minyak. Bila nak turun minyak ini, tanda-tandanya telinga gajah basah kiri dan kanan serta bengkak te­linga kiri dan kanan. Biasa kalau macam ini, kita akan kuarantin dan kalau hendak cepat, korek bahagian telinga, biar cepat pengeluaran air. Situasi ini berlaku ketika musim mengawan,” katanya.

Buat masa kini, PKGK me­nempatkan 24 ekor gajah denak membabitkan 20 gajah betina dan empat jantan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×