PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi akan melaksanakan 25 inisiatif dan tujuh strategi dalam agenda transformasi politeknik melalui pendigitalan pendidikan bagi menghasilkan graduan berbakat dan berkemahiran teknologi tinggi menjelang 2027.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, timbalan menterinya, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, transformasi di bawah POLI Digital itu akan menyediakan ekosistem pengajaran dan pembelajaran lebih fleksibel kepada pelajar di kesemua 36 politeknik.
Katanya, 95 peratus kurikulum Politeknik diintegrasi dengan teknologi baharu dan pendigitalan seperti teknologi internet kebendaan (IoT), big data, teknologi Realiti Terimbuh (AR) dan additive manifacturing bagi menyokong pembaharuan itu.
“Penggunaan pengkomputeran awan dilaksanakan sepenuhnya dalam sistem pembelajaran digital dikenali CIDOS yang mampu menampung pembelajaran digital sehingga 100,000 pelajar tanpa gangguan trafik.
“Pada masa ini, 30 peratus atau 500 kursus di politeknik melaksanakan pembelajaran hibrid iaitu kombinasi pembelajaran dalam talian dan bersemuka dan ia dijangka meningkat sehingga 70 peratus kursus pada tahun 2027,” katanya di sini semalam.
Mohammad Yusof berkata, sebanyak 50 ruang pembelajaran termaju (learning spaces) diwujudkan di politeknik atau lebih dikenali Technology enabled Classroom (TECC) dan Immersive XR space dibekalkan pada masa ini.
Menjelang 2027, bilangan ruang pembelajaran akan meningkat sehingga 150 TECC bagi menyokong kaedah pembelajaran terkini dan bersifat student centered serta pembelajaran dalam talian.
Beliau berkata, pembangunan platform dan bahan pembelajaran Metaverse juga dibangunkan bagi pembelajaran kursus kejuruteraan awam.
Melalui teknologi Metaverse ini, katanya, pelajar dapat berkolaborasi dan bersimulasi bersama pelajar dan pensyarah mereka secara maya seperti mana mereka merasai suasana kelas atau makmal sebenar.
Pada masa sama, bahan e-kandungan pembelajaran digital yang meliputi video pembelajaran dan pengajaran (PdP), augmented reality, Virtual Reality, Video 360 dan e-Buku turut dibangunkan.
“Kini, politeknik membangunkan hampir 2,500 bahan pembelajaran digital yang mampu digunakan untuk melaksanakan pembelajaran digital.
“Jangkaan 6,000 bahan digital akan dibangunkan pada tahun 2027. Penggunaan bahan seperti VR, AR dan Video 360 mampu memberi peluang kepada pelajar mengikuti pembelajaran yang sukar diulangi di makmal seperti pembelajaran enjin kereta dalam bidang automotif,” katanya.
Beliau menjelaskan, program 4IR flagships juga diperkenalkan dengan memberi peluang kepada pensyarah dan pelajar berkolaborasi bersama industri dalam menghasilkan projek 4IR.
Sebagai contoh, Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) berjaya menghasilkan kereta autonomous menggunakan model kereta Proton Preve.
“Terdapat 10 flagships kini dalam pelaksanaan dan jangkaan output projek dapat disiapkan pada tahun 2027,” katanya.
Selain itu, kata beliau, pelbagai penggunaan teknologi AI (kecerdasan buatan) dalam pengkomputeran awan sedang dibangunkan seperti machine learning bertujuan membuat jangkaan keputusan penilaian pelajar melalui set data penilaian pelajar yang lepas.
Jelasnya, hal ini membantu pensyarah dalam memantau prestasi pelajar dan membuat penambaikan sebelum pelajar menduduki peperiksaan akhir.
Katanya, bagi memastikan semua inisiatif POLI Digital tercapai, latihan pendigitalan dan teknologi baharu atau lebih dikenali latihan industri 4FWD sangat penting bagi memastikan modal insan pensyarah sentiasa meningkat dan mengikut keperluan industri.
Difahamkan, sehingga kini hampir 3,000 pensyarah mengikuti kursus pendigitalan pendidikan dan teknologi 4IR yang dilaksanakan bersama industri dan terdapat kursus yang membolehkan pensyarah memperoleh sijil Professional.
“Trasformasi POLI Digital ini diharap menarik minat pelajar untuk memilih bidang TVET sebagai pilihan mereka untuk menyambung pelajaran khususnya di politeknik,” katanya. – UTUSAN










