‘Jangan panggil saya YB tapi Acap’ - Utusan Malaysia

‘Jangan panggil saya YB tapi Acap’

MOHD. Ashraf Mustaqim Badrul Munir (dua dari kanan) beramah mesra dengan penyokong selepas proses penamaan calon DUN Kota Siputeh di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu, Kedah pada hari penamaan calon.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: “Tolong jangan panggil saya YB (Yang Berhormat), cukup sekadar Ashraf atau Acap, kata wakil rakyat baharu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir.

Katanya, beliau juga lebih senang dipanggil sebagai ‘anak’ oleh golongan berusia di sekitar kawasan tersebut bagi menggambarkan hubungan akrab yang bakal dibina antara mereka.

Mohd. Ashraf berkata, beliau mahu membawa budaya baharu yang lebih erat bersama penduduk setempat daripada sekecil-kecil perkara hinggalah isu-isu melibatkan kepentingan masyarakat.

“Orang luar nak panggil ‘YB’ tak apa tetapi bukan orang Kota Siputeh. Saya di sini untuk berkhidmat buat rakyat, merendah diri dan menjadi ‘hamba’ kepada mereka.

“Jadi tolonglah jangan panggil ‘YB’, cukup sekadar Ashraf atau Acap dan kalau orang yang berusia, panggil saya ‘anak’ pun dah mencukupi,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

MENEWASKAN

Dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabtu lalu, Mohd. Ashraf memperoleh 17,180 undi menewaskan penyandang di kerusi tersebut daripada Pakatan Harapan (PH), Dr. Salmee Said yang hanya mendapat 4,090 undi dan seorang lagi calon Bebas, Abdul Ramli sekadar memperoleh 312 undi.

Sementara itu, Mohd. Ashraf yang pernah menjadi jurugambar di sebuah portal berita berkata, beliau mengharapkan satu jalinan erat dapat dibina antara warga Kota Siputeh dengan warga media terutamanya di Kedah.

“Peranan media cukup pen­ting antaranya untuk mendidik kepada masyarakat dan saya fikir jalinan hubungan antara penduduk setempat bersama warga media, dapat diperluaskan berdasarkan jaringan yang ada.

“Jadi saya berharap Kota Siputeh boleh menjadi ‘anak ang­kat’ pihak media untuk kita sama-sama merancakkan proses pendidikan di situ. Insya Allah, kita boleh sama-sama untuk le­barkan kerjasama bagi memba­ngunkan kawasan ini,” katanya.

Mengulas keputusan PRN kali ini, Ashraf yang juga Timbalan Ketua Penerangan Pemuda PN menyifatkannya sebagai satu manifestasi daripada rak­yat supaya pimpinan UMNO sedar akan kepentingan menjaga ‘jalur’ Melayu dan bukannya bersama PH atau DAP.

“Sepatutnya kita bersama-sama dalam muafakat ummah yang digagaskan dan kembali kepada nilai perjuangan terkait Islam serta Melayu. Bukannya apabila kita terhimpit dan dihina, kita bertegas pula dengan menyatakan tak boleh bercakap soal agama, raja dan kaum (3R).

“Itu bukan maruah UMNO yang kita kenal. Tetapi di kawasan Kota Siputeh ini, saya akan pastikan tiada mana-mana pihak ditinggalkan kerana segalanya akan dibalas dengan kasih sayang serta persaudaraan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN