Cita-cita Altimet tawan Lembah Jaya jadi kenyataan - Utusan Malaysia

Cita-cita Altimet tawan Lembah Jaya jadi kenyataan

Altimet menang di Lembah Jaya pada PRN baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau popular dipanggil Altimet yang menang kerusi N.20 Lembah Jaya mengakui sudah lama merancang untuk menawan kerusi itu dan bergelar ahli politik.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Altimet berkata, tiada sebab untuk dirinya menafikan perkara itu kerana ia sudah dibangkitkan pada tahun 2019.

“Memang betul, saya dah lama rancang, jika itu yang diandaikan orang. Sebagai seorang penghibur, saya sudah lama meletakkan noktah buat aktiviti seni pada tahun 2019.

“Perkara ini (gambaran menjadi ahli politik) pernah saya ceritakan setahun sebelumnya.Namun, mungkin orang sudah lupa agaknya kerana kemudian negara dilanda wabak Covid­-19,” katanya ketika dihubungi semalam.

Altimet menewaskan sai­ngannya Sharifah Haslizah Syed Arifin, calon Perikatan Nasio­nal (PN) dengan meraih 26,298 undi iaitu majoriti 6,678 undi berbanding Sharifah Haslizah yang memperoleh 19,620 un­di pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Kemenangan itu turut me­nyaksikan Altimet menjadi selebriti kedua bergelar wakil rakyat selepas pelakon, Dira Abu Zahar.

Ditanya tugas baharu dan perancangannya untuk masyarakat di Lembah Jaya, Altimet berkata, tanggungjawab itu akan digalas dengan sebaik mungkin.

“Saya terharu dan teruja. Dalam masa yang sama, saya sedar ini satu tanggungjawab yang berat. Insya-Allah, saya sedia menjalankannya dengan sebaik mungkin selepas dibenarkan untuk mengangkat sum­pah nanti.

“Bagaimanapun, maklumat telah dikumpulkan, strategi juga telah dirangka dan selepas ini kita akan siapkan pasukan untuk bekerjasama dan menjalankan tugas. Insya-Allah, dengan sokongan yang diberikan, saya jadikan ia sebagai penguat semangat.

“Pada masa sama, saya sedar bila orang seni ma­suk dunia politik, ramai akan pertikai. Saya anggap itu lumrah dan terpulang kepada orang baharu untuk ubah persepsi itu,” kata­nya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN