PUTRAJAYA: Setiap pemimpin politik sama ada dalam kalangan parti kerajaan atau pembangkang diminta tidak menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) sehingga mencabar undang-undang terutama ketika menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, sebagai pemimpin parti politik, mereka sepatutnya menumpukan isu-isu melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat.
Katanya, mereka perlu menawarkan dan memperjelaskan polisi-polisi dan dasar terbaik sebagai asas untuk rakyat memilih parti mana yang mampu membela nasib hidup mereka dan layak untuk mentadbir kerajaan negeri.
POLISI
“Itu tujuannya diadakan PRN. Sebagai pemimpin politik perlu memberikan tumpuan memperjelaskan polisi dan dasar untuk diperkenalkan kepada rakyat bagi menarik minat mereka.
“Saya nasihatkan supaya pemimpin politik jangan sentuh isu 3R, apatah lagi Yang di-Pertuan Agong bertitah supaya menjaga sensitiviti perkauman, agama dan raja. Semua pihak kena menjunjung titah nasihat Baginda,” katanya ketika ditemui di pejabat beliau semalam.
Mohd. Naim pada masa sama bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan akta baharu berkaitan isu 3R di negara ini bagi menangani provokasi melampau dan kebencian rakyat mengenai isu tersebut.
Beliau berkata, pihaknya melalui Bahagian Dasar dan Pendidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menyertai pasukan khas yang ditubuhkan bagi membincangkan dan meneliti keperluan itu dengan semua pihak terlibat.
“Saya menyokong pewujudan akta khusus menangani isu ini dan ia dalam perbincangan. Saya sudah arahkan Jakim (menyertai pasukan ini) yang akan bermesyuarat minggu depan,” katanya.
Penubuhan pasukan khas itu dicadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang akan mengadakan pertemuan pertama dengan pihak berkaitan di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Kuala Lumpur pada Jumaat ini.
Sebelum ini kerajaan dilaporkan mahu mengkaji untuk mewujudkan akta baharu berkaitan berdasarkan aspek sivil yang mungkin dinamakan Akta Negara Bangsa mirip Akta Keharmonian Kaum di Singapura dan cadangan mengenainya dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada mesyuarat Kabinet.
Ketika ini, kesalahan melibatkan isu 3R disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 yang lebih menjurus kepada elemen kesalahan jenayah. – UTUSAN










