KUALA LANGAT: Pelajar yang memperoleh keputusan tidak memuaskan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disaran menceburi pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya juga tidak mempunyai halangan untuk memberi peluang kedua kepada pelajar tercicir menduduki peperiksaan SPM.
“Peluang sentiasa dibuka sebab itu kita terus sambut apa yang Perdana Menteri sebut semalam soal peluang kedua, soal menduduki (SPM) semula kita akan bantu.
“Soal untuk menentukan hala tuju, bimbingan dan kaunseling kita akan bantu dan kemudahan sokongan kalau mereka memerlukan apa-apa sokongan lain. Barang kali kewangan, hala tuju dan melihat kepada setiap kes, apa yang kita boleh bantu di peringkat ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Perpaduan Madani 2023 Sempena ‘Top 10 World’s Best School Prizes’, semalam.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, kerajaan perlu mengenal pasti kira-kira 30,000 pelajar yang tercicir dari Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya mereka boleh diserap ke mana-mana program latihan sedia ada.
Ketika ini dianggarkan 30,000 pelajar tidak menghadiri peperiksaan SPM dan perlu hidup tanpa sijil minimum yang diperlukan untuk memohon pelbagai jawatan termasuk dalam kerajaan.
Dalam pada itu, Fadhlina menjelaskan, banyak bantuan dan bimbingan diberikan kepada golongan tercicir selain daripada memberi peluang kedua untuk menduduki peperiksaan SPM.
“Dalam sistem pengesanan kita di peringkat KPM, kita ada sistem pengesanan golongan ini untuk dua tahun dalam radar kita. Jadi dalam tempoh dua tahun itu sekurang-kurangnya kita boleh membuat intervensi pelbagai.
“Saya bagi contoh memperkukuhkan Tingkatan 6 khususnya pelajar B40 untuk sambung pelajaran di peringkat itu, TVET dan menduduki semula (subjek tertentu) jika ada pelajar yang ingin berbuat demikian,” ujarnya.
Tambahnya, beliau berharap yayasan-yayasan negeri dapat membantu golongan tercicir untuk memastikan mereka menggunakan peluang kedua tersebut sebaiknya.
Sementara itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Kanchong Darat di daerah ini menjadi contoh sebagai sekolah luar bandar yang berjaya menduduki dalam kelompok 10 untuk memenangi Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2023.
Mengulas pencapaian itu, Fadhlina berkata, kejayaan sekolah itu yang mencipta inovasi bertema ‘Program Minda Sihat, Warga Hebat’ berasaskan permainan lompat tali sewajarnya menjadi contoh kepada sekolah lain di negara ini.
Selain SK Kanchong Daat, SK Seri Permai di Bayan Baru, Pulau Pinang turut tersenarai dalam kedudukan sepuluh teratas anugerah berkenaan. – UTUSAN










