Jimat belanja, naik cukai mampu kurangkan hutang

Jimat belanja, naik cukai mampu kurangkan hutang

AHMED RAZMAN ABDUL LATIFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kombinasi antara kaedah penjimatan de­ngan mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan tindakan menaikkan kadar cukai dilihat mampu mengurangkan hutang negara berjumlah RM1.5 trilion untuk beberapa tahun akan datang.

Ini terbukti apabila Sweden yang hampir bankrap pada 1994 ekoran hutang membuat tindakan drastik dengan melaksanakan pemotongan bajet perbelanjaan dan kenaikan kadar cukai, perkara yang sama dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) beberapa kali dalam sejarahnya.

Kanada juga yang berdepan dua kali ganda defisit bajet pada 1990an mengambil tindakan mendadak dengan mengurangkan perbelanjaan kerajaan sehingga 20 peratus, defisit itu menjadi sifar dalam tempoh tiga tahun dan hutang negara berkurangan sehingga satu pertiga dalam tempoh lima tahun tanpa menaikkan kadar cukai.

Ketika ini, hutang negara termasuk liabiliti sudah mencecah hampir RM1.5 trilion bersamaan defisit 58 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) namun masih di bawah 65 peratus paras hutang yang ditetapkan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff menjelaskan, perkara yang sama boleh dilakukan oleh Malaysia jika perbelanjaan kerajaan dijimatkan untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

Katanya, kenaikan kadar cukai serta pengenalan beberapa cukai baharu juga wajar dilaksanakan jika kerajaan benar-benar mahu hutang negara dikurangkan.

“Langkah pengurangan hutang negara meliputi fasa-fasa tertentu, antaranya memastikan hutang sedia ada boleh dibayar. Apa yang dilakukan kerajaan ketika ini iaitu membanteras ketirisan dan mengelak pembaziran sememangnya membantu untuk mengurangkan hutang negara kerana jumlahnya jauh lebih banyak daripada kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Ada juga yang mencadangkan supaya meningkatkan kadar cukai tertentu diperkenalkan seperti GST tetapi ada cukai le­bih baik yang boleh diperkenalkan oleh kerajaan seperti cukai makmur atau cukai keuntungan modal (CGT) yang mengenakan cukai kepada individu atau syarikat yang meraih keuntu­ngan luar biasa,” katanya ketika dihubungi.

Kerajaan menjangkakan, unjuran KDNK tahun ini berkembang antara 4% dan 5% serta jangkaan harga komoditi glo­bal yang sederhana akan menyebabkan pertumbuhan hasil cukai lebih perlahan sebanyak 3.7% iaitu RM205.6 bilion atau 11.3% daripada KDNK.

Walau bagaimanapun, hasil bukan cukai dianggar berkurang kepada RM67 bilion atau 3.7% daripada KDNK iaitu melebihi peningkatan hasil cukai dan secara keseluruhan, hasil kerajaan diunjur berkurang sebanyak 4.4% kepada RM272.6 bilion.

Hasil cukai kekal sebagai penyumbang terbesar iaitu 69.5% daripada jumlah hasil atau 11.6% daripada KDNK disokong oleh pemulihan ekonomi yang kukuh dan peningkatan harga komoditi.

BARJOYAI BARDAI

Namun, pensyarah ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Dr. Barjoyai Bardai menyifatkan, langkah memperkenalkan sebarang cukai baharu perlu dilakukan setelah mengambil kira semua faktor.

“Antara penyelesaian terbaik adalah menambahkan cukai yang produktif tetapi mengenakan kadar cukai yang tinggi mempunyai kesan tertentu juga seperti reputasi negara akan terjejas terhadap pelabur asi­ng yang mungkin tidak mahu membuat pelaburan jika dikenakan kadar cukai tinggi.

“Apa yang lebih penting adalah menambah pendapatan dan perbelanjaan rakyat supaya dapat hidup sejahtera melalui pelaburan sama ada dalam dan luar negara bagi menjadikan ekonomi negara berada dalam keadaan mewah dan positif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN