Pas Terengganu bernafsu besar tawan semua DUN

Pas Terengganu bernafsu besar tawan semua DUN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMENANGAN luar biasa Perikatan Nasional (PN) Terengganu menawan kesemua lapan kerusi Parlimen di negeri itu dalam Pi­lihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu membuka ‘pintu hati’ pemimpin Pas untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) lebih awal.

Keterujaan Pas mengadakan PRN dengan segera terserlah selepas pecahan undi peringkat Parlimen kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu menunjukkan PN memenangi sebanyak 31 daripada 32 kerusi DUN di negeri itu.

Pemimpin Pas dilihat mula bernafsu besar untuk menawan kesemua 32 DUN apabila menyatakan persetujuan sekiranya PRN diadakan lebih awal berdasarkan momentum masyarakat Melayu dan pe­ngundi muda menolak Barisan Nasional (BN) seperti yang ditunjukkan dalam PRU15 masih bergelora.

Gandingan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PN telah tersilap percaturan apabila parti itu dikatakan tidak mampu memenangi kesemua DUN di Terengganu sekiranya dipertandingkan secara serentak bersama Parlimen dalam PRU15 lalu.

Lantas PN Terengganu dan negeri-negeri lain di bawah pentadbiran Pas tidak mahu meng­adakan PRN dengan alasan PRU15 diadakan pada musim banjir.

Justeru, jumlah pecahan undi di 31 kerusi DUN yang bakal dimenangi PN juga dikatakan mencatatkan majoriti lebih besar berbanding PRU14 sebelum ini.

Sebaliknya, Barisan Nasional (BN) pula sekadar memenangi satu DUN sahaja iaitu Telemong dalam Parlimen Hulu Terengganu dengan majoriti tipis 600 undi.

Pengarah Pilihan Raya Pas Negeri Terengganu, Ariffin Deraman dilaporkan berkata, parti itu bersetuju dengan saranan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim agar PRN untuk tiga negeri di bawah pentadbiran PN diadakan segera.

Bagaimanapun menurut beliau, PN Terengganu menyerahkan sepenuhnya kebijaksanaan pucuk pimpinan menentukan tarikh yang sesuai untuk negeri-negeri PN membubarkan DUN untuk memberi laluan kepada PRN.

Sebelum itu, Shahidan memberitahu, sokongan rakyat yang dilihat berpihak kepada PN ketika ini menjadi waktu terbaik kepada gabungan itu membubarkan DUN di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Malah bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, masa terbaik untuk mengadakan PRN di Terengganu, Kedah dan Kelantan ialah selepas PRN Parlimen Padang Serai, Kedah dan DUN Tioman, Pahang.

Adakah pemimpin Pas selepas ini sanggup menukar pandangan mereka yang tidak bersetuju PRU15 diadakan dalam musim tengkujuh dengan mengadakan PRN pada awal tahun depan.

Ini kerana selepas itu, pelaksanaan PRN perlu mengambil kira musim perayaan dan musim haji. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN