Sepupu Allahyarham Pak Yus Jambu kempen solo ‘gempur’ MB

Sepupu Allahyarham Pak Yus Jambu kempen solo ‘gempur’ MB di Bintong

CALON Pejuang DUN Bintong, Mohd. Shazwan Suban berkempen secara solo menaiki motosikal tanpa jentera dari rumah ke rumah sekitar Bintong, Perlis hari ini. -UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mohd. Shazwan Suban mengambil pendekatan berbeza dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan berkempen secara solo tanpa jentera bagi menghadapi penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong, Datuk Seri Azlan Man yang juga Menteri Besar.

Menerusi kempen tersebut, Mohd Shazwan lebih selesa bergerak tanpa menggunakan khidmat jentera untuk mendekati pengundi di kawasan DUN itu memandangkan lebih 30 peratus penduduk di situ adalah ahli keluarga dan rakan-rakannya.

Kata Pengarah Urusan syarikat Woegar AG (M) Sdn. Bhd itu, dia tidak perlu menggunakan jentera memandangkan pengundi di kawasan tersebut terdiri daripada ahli keluarga dan sanak saudaranya.

“Saya hanya mengambil pendekatan untuk pergi rumah ke rumah dengan menaiki motosikal memandangkan majoriti penduduk di sini adalah kenalan dan ahli keluarga.

“Jadi, lebih mudah sekiranya saya bergerak sendiri tanpa bantuan jentera untuk bertemu mendekati masyarakat di DUN Bintong,” katanya di sini hari.

Mohd Shazwan bakal mencabar Azlan yang merupakan penyandang kerusi berkenaan bersama empat calon lain iaitu Azhari Ahmad (PH), Hashim Suboh (Bebas), Mohamad Khair Mohd Noor (Warisan) dan Fakhrul Anwar Ismail (PN). 

Dalam PRU14 lalu, Azlan memenangi kerusi DUN Bintong setelah mendapat sebanyak 3,986 undi menewaskan calon PKR, Mokhtar Che Kassim (3,139 undi) dan Pas, Abd Jamil Kamis (2,695 undi).

Dalam pada itu, Mohd Shazwan yang juga merupakan sepupu kepada pelawak terkenal, Allhahyarham Yussry Edoo atau lebih dikenali sebagai Pak Yus Jambu berkata, setakat ini, penerimaan masyarakat dan pengundi di kawasan tersebut positif.

“Saya memulakan kempen seawal pukul 8 pagi pada setiap hari dan akan pergi mendekati pengundi bagi menyampaikan maklumat kepada mereka tentang apa yang akan dibawa selepas ini,” katanya.

Di samping itu, Mohd Shazwan turut merancang membawa agenda agro pertanian dan pelancongan buat penduduk di DUN Bintong sekiranya menang dalam PRU15.

Tambah Pengerusi Suara Tani Malaysia itu, dia juga berjanji akan memberikan semburan racun padi menggunakan dron secara percuma bagi setiap satu musim kepada pesawah di kawasan itu sekiranya terpilih. 

“Saya akan cuba menjaga kebajikan petani dan pesawah di kawasan ini yang memerlukan perhatian dalam meningkatkan taraf kehidupan mereka,” katanya. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya