PETALING JAYA: Veteran DAP, Lim Kit Siang menyarankan ahli politik sezamannya iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li untuk berundur daripada bertanding sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Saranan itu dikemukakan dalam surat terbuka kepada semua calon-calon PRU15 yang mana esok merupakan hari penamaan calon.
“Saya minta Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah untuk menolak penamaan sebagai calon dalam PRU15.
“Serahkan usaha untuk memenuhi impian Malaysia untuk menjadi sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia kepada golongan anak muda di Malaysia,” katanya melalui blognya, hari ini.
Kit Siang, 81, mengumumkan bersara daripada politik pada Mac lalu dan tidak akan menjadi calon pada PRU15 selepas berkecimpung kira-kira 57 tahun dalam politik.
Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), 97, mengumumkan untuk tetap mempertahankan Parlimen Langkawi, manakala Ku Li, 85, tetap bertanding di Parlimen Gua Musang meskipun sudah 12 penggal mewakili kawasan itu.
Terdahulu, melalui surat terbuka itu, Kit Siang meminta semua calon-calon untuk bersatu di bawah satu mesej iaitu menjadikan Malaysia hebat sekali lagi.
Beliau berkata, dalam 65 tahun selepas penubuhan, negara sudah terpesong dari prinsip pembinaan negara yang diterapkan oleh tokoh kemerdekaan negara dalam Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara.
“Kita pernah beraspirasi, seperti yang dikatakan oleh Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, untuk menjadi ‘sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu’ tetapi dalam enam dekad yang lepas, kita sebaliknya menyumbangkan kegelapan dalam dunia.
“Pada 1979, semasa Perhimpunan Agung UMNO, Perdana Menteri ketika itu, Hussein Onn, memberikan amaran yang Malaysia akan hancur sekiranya pemimpinnya ‘tidak jujur, tidak boleh dipercayai, dan korup’ serta menyatakan harapan supaya skandal Bank Rakyat ketika (itu) akan menjadi ‘pengajaran pahit kepada institusi dan agensi kerajaan yang lain termasuklah syarikat dan anak syarikat yang dibentuk oleh kerajaan”.
“Namun, dari skandal Bank Rakyat yang melibatkan RM100 juta pada 1979, masalah kita semakin membarah sehinggalah kepada skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) yang melibatkan RM50 billion tiga dekad kemudian, bersama dengan pelbagai skandal mega yang lain seperti yang paling baharu, skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 billion.
“Tokoh-tokoh kemerdekaan seperti Tan Cheng Lock, Tan Siew Sin, dan V. T. Sambanthan tidak akan membiarkan Malaysia menjadi sebuah ‘kleptokrasi’, apatah lagi ‘kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk’ dan disamakan dengan para kleptokrat lain di dunia seperti Marcos dari Filipina dan Suharto dari Indonesia. Tidak dapat dibayangkan untuk mereka berdiam diri dan tidak mengecam skandal 1MDB,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, negara perlu menetapkan semula hala tuju dan kembali kepada prinsip yang ditetapkan oleh tokoh kemerdekaan.
Katanya, perkara tersebut perlu meliputi prinsip negara beraja perlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, badan kehakiman yang bebas, tadbir urus yang baik, integriti awam dengan rasuah yang minima.
Selain itu, katanya, ia juga perlu membabitkan hormat terhadap hak asasi manusia, dan perpaduan negara dan keharmonian dari masyarakat majmuk pelbagai kaum, bahasa, agama, dan budaya.
“Kita ditinggalkan di belakang satu demi satu negara dari segi ekonomi Taiwan, Singapura, Korea Selatan, Hong Kong, dan Vietnam. Melainkan kita bangkit semula, kita akan ditinggalkan di belakang lebih banyak negara lagi.
“Kita perlu sedar yang Malaysia berada dalam masalah yang dapat dilihat dari nilai Ringgit Malaysia kita, di mana pada suatu ketika dahulu, satu Ringgit Malaysia bersamaan dengan satu Dolar Singapura, kini satu Dolar Singapura sudah bersamaan dengan RM3.345.
“(Namun) Malaysia masih boleh diselamatkan dan patut diselamatkan. Marilah semua calon-calon berjanji untuk melakukan sebaik mungkin untuk mengelakkan Malaysia menjadi satu lagi Sri Lanka atau Zimbabwe menjelang ulang tahun ke-100 negara.
“(Ia) supaya Malaysia dapat memenuhi potensinya untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dan mengembalikan status Sabah dan Sarawak sepenuhnya seperti mana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963,” katanya. –UTUSAN










