COMO: Kedudukan pengurus Manchester United, Michael Carrik kini dalam bahaya selepas The Red Devils dibelasah 1-4 oleh Como dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah, semalam.
Dua jaringan Nico Paz menghadiahkan kemenangan bersejarah buat kelab Itali itu, manakala Tasos Douvikas dan Jacobo Ramon turut mencetak nama sebagai penjaring.
Jaringan lewat Joshua Zirkzee pula gagal menyelamatkan United daripada kekalahan apabila rekod tanpa kemenangan mereka berlarutan kepada tujuh perlawanan dalam semua pertandingan.
Carrick kini berdepan tekanan selepas United melalui enam perlawanan tanpa kemenangan, dengan tiga seri dan tiga kekalahan, sekali gus mencatat permulaan terburuk kempen liga dalam tempoh 40 tahun.
Sebaliknya, anak buah Cesc Fabregas mempamerkan aksi meyakinkan untuk menundukkan juara Eropah tiga kali itu, sekali gus melakar antara kemenangan terbesar dalam sejarah kelab berkenaan.
Carrick mengakui persembahan pasukannya tidak boleh diterima dan menegaskan semua pihak perlu bertanggungjawab, termasuk dirinya sendiri.
“Sebagai penyokong kelab ini, melihat persembahan seperti itu memang tidak boleh diterima. Saya bertanggungjawab terhadap pasukan dan prestasi keseluruhan. Saya juga perlu memohon maaf atas persembahan itu,” katanya.
Susulan kekalahan itu, kapten United, Bruno Fernandes turut mempersoalkan taktikal Carrick, sambil menyifatkan pemain seolah-olah sudah hilang semangat selepas dibolosi awal.
Fernandes berkata, United gagal memberikan tekanan mencukupi kepada lawan selain kurang pergerakan tanpa bola, sekali gus membolehkan Como menguasai permainan.
“Kami bermula dengan langkah yang salah dan mereka menjaringkan gol terlalu awal. Tekanan terhadap pemain yang menguasai bola tidak cukup dan pergerakan tanpa bola juga tidak baik.
“Keputusan untuk tidak melakukan tekanan seorang lawan seorang adalah pilihan barisan kejurulatihan.
“Ada kalanya kami membiarkan ruang di belakang dan menunggu mereka membawa bola, tetapi apabila memberi ruang kepada pasukan seperti ini, mereka akan semakin yakin,” katanya kepada TNT Sports. – AGENSI











