PRN Melaka: BN, Pas kongsi pentas umum calon esok

PRN Melaka: BN, Pas kongsi pentas umum calon esok

AHMAD Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk BN bagi Pilihan Raya Umum Negeri Melaka Ke-16 di MITC, Melaka malam tadi. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan senarai calon bersama Pas dan rakan strategiknya yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), esok.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembahagian kerusi antara BN dengan rakan strategiknya telah dimuktamadkan manakala penyelarasan bersama parti-parti komponen BN turut mengambil kira keserasian kawasan dan potensi kemenangan.

“Dengan rakan-rakan komponen kami selesai dan kami akan sesuaikan mengikut keserasian kawasan-kawasan yang pada pandangan mereka mungkin ada kemungkinan dan kebolehmenangannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Manakala dengan rakan-rakan kongsi politik kami ataupun rakan strategik, kami menunggu hasil perbincangan mereka dan insya-Allah segala-galanya akan selesai dengan baik.

“Segala-galanya telah dimuktamadkan mengikut jumlah kerusi yang kami bersetuju bersama. Insya-Allah, di pentas yang sama dan di dewan yang sama kami akan umumkan 21 (kerusi) mereka akan umumkan tujuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk BN bagi Pilihan Raya Umum Negeri Melaka Ke-16 di MITC, di sini semalam.

Mengenai calon yang bakal diketengahkan, Ahmad Zahid berkata, senarai berkenaan masih belum dimuktamadkan sepenuhnya meskipun beberapa nama telah dikenal pasti dalam senarai pendek.

Katanya, keputusan akhir mengenai calon akan dibuat menjelang pengumuman rasmi esok.

“Calon belum dimuktamadkan lagi tetapi sudah ada dalam senarai pendek. Calon dimuktamadkan malam 24 haribulan,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengumumkan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya BN Melaka bagi menghadapi PRN kali ini.

Katanya, pelantikan itu dibuat bagi menggantikan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mempunyai komitmen rasmi di luar negara termasuk menghadiri mesyuarat negara-negara Komanwel, mesyuarat serantau dan Sidang Kemuncak ASEAN.

Jelasnya, Timbalan Presiden UMNO itu tidak akan berada sepanjang penamaan calon pada 31 Oktober, kempen dan hari mengundi pada 14 November kerana berada di luar negara ketika itu.

Sementara itu, Ab Rauf berkata, beliau menerima tanggungjawab sebagai Pengarah Pilihan Raya BN Melaka dengan penuh penghargaan dan akan memastikan tugas berkenaan dilaksanakan sebaik mungkin.

“Saya merakamkan kebahagiaan atas kepercayaan yang diberikan kepada saya sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri Melaka dan akan saya sempurnakan tanggungjawab ini sebaik mungkin. Kami dalam banyak perkara tadi dalam penyelarasan tugas dan tanggungjawab bapa-bapa angkat parti-parti komponen untuk membantu gerak kerja pilihan raya di Melaka,” ujarnya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini