KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) boleh meneruskan persiapan bagi bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menggunakan nama dan logonya selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam membenarkan permohonan penggantungan notis Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) terhadap gabungan itu.
Keputusan Hakim Datuk Azizan Md. Arshad itu membolehkan PN meneruskan aktiviti politik sementara menunggu pelupusan semakan kehakiman, sekali gus membuka laluan kepada gabungan berkenaan menyusun strategi menjelang hari penamaan calon pada 31 Oktober ini dan pengundian 14 November.
Menerusi keputusan itu, RoS tidak boleh menguatkuasakan penggantungan aktiviti atau pembatalan pendaftaran PN sehingga semakan kehakiman berkenaan diputuskan sepenuhnya.
Hakim berkata, mahkamah mendapati terdapat keadaan luar biasa yang mewajarkan penggantungan diberikan, terutama kerana sekatan berkenaan boleh menjejaskan hak politik anggota parti, wakil rakyat dan Ahli Parlimen, termasuk penyertaan dalam pilihan raya yang tidak boleh dipulihkan sekiranya peluang itu terlepas.
Menurut beliau, RoS juga tidak mengalami prejudis kerana aktiviti politik PN masih boleh dipantau dan tindakan penguatkuasaan boleh diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang.
Bagaimanapun, mahkamah tidak memutuskan pada peringkat ini sama ada tindakan RoS membatalkan pendaftaran PN pada 20 Oktober lalu sah di sisi undang-undang. Perkara itu masih tertakluk kepada penelitian dalam prosiding semakan kehakiman.
Pada 22 September lalu, RoS mengeluarkan notis penggantungan semua aktiviti PN berkuat kuasa 23 September, selain memberi amaran pendaftaran gabungan itu berisiko dibatalkan. Namun, pendaftaran PN dibatalkan pada 20 Oktober, kira-kira 28 hari selepas notis berkenaan dikeluarkan.
Pada 13 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan PN memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan RoS, manakala tarikh pendengaran kes itu belum ditetapkan.
Permohonan tersebut difailkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, bersama setiausaha agung PAS, Gerakan, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Parti Wawasan Negara (Wawasan) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Dalam afidavit sokongannya, Takiyuddin mendakwa arahan penggantungan itu menjejaskan keupayaan PN mengadakan mesyuarat, membuat keputusan politik dan menyelaras penyertaan dalam PRN Melaka. Beliau turut menyatakan pegawai parti berisiko dikenakan tindakan pendakwaan jika melanggar perintah berkenaan.
Sementara itu, Takiyuddin berkata, Bersatu akan dipanggil menghadiri mesyuarat PN dalam masa terdekat kerana parti itu masih merupakan anggota gabungan berkenaan.
Katanya, keputusan mahkamah membolehkan PN mengadakan mesyuarat bagi menyusun langkah menghadapi PRN Melaka, termasuk menentukan strategi dan pembahagian kerusi.
“Kami akan panggil Bersatu datang mesyuarat. Mereka adalah parti anggota lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas prosiding pendengaran berkaitan parti itu di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam.
Turut hadir Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai; Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad; dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P. Punithan.
Ditanya mengenai pembahagian kerusi bagi PRN Melaka, Takiyuddin memaklumkan keputusan itu masih belum muktamad.
“Itu sebagai cabaran kepada kita. Apa yang kita nak lakukan itu adalah satu strategi yang kita tidak boleh dedahkan pada masa ini.
“Kita akan menentukan bila kita akan adakan mesyuarat. Maksudnya kita boleh mengadakan mesyuarat.
“Ada banyak hari lagi, 10 hari lagi. Kerjasama tetap kerjasama, tapi belum lagi memuktamadkan bentuk kerjasama dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN











