SPRM siasat Tommy Thomas

SPRM siasat Tommy Thomas

tommy thomas
TOMMY THOMAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berdasarkan laporan Pasukan Petugas Khas terhadap buku tulisannya My Story: Justice In The Wilderness.

Satu sumber yang mengesahkannya kepada Utusan Malaysia berkata, siasatan itu tertumpu kepada tujuh isu yang berada di bawah Akta SPRM 2009 termasuk dakwaan salah guna kuasa ketika Tommy memegang jawatan Peguam Negara.

Jelas sumber lagi, SPRM kini dalam peringkat kajian terhadap laporan yang dikemukakan sebelum mengenal pasti pihak-pihak lain yang terlibat bagi siasatan lanjut.

“Kita telah mulakan siasatan dan meneliti laporan berkenaan,” katanya, semalam.

Dalam buku laporan siasatan yang dinyah sulit kerajaan sebelum ini Pasukan Petugas Khas mendapati Tommy mungkin melakukan kesalahan di bawah Seksyen 124I dan 203A Kanun Keseksaan; Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009; Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972; Seksyen 4 Akta Hasutan 1948; dan di bawah peraturan, prosedur serta pekeliling Kerajaan.

Buku laporan setebal 822 muka surat itu turut menyenaraikan sembilan ele­men kemungkinan berlaku salah laku oleh bekas Peguam Negara itu.

Antaranya campur tangan Tom­my dalam melantik hakim-hakim, membocorkan rahsia ke­­rajaan, menyalahgunakan kuasa melantik peguam luar untuk me­wakili kerajaan sehingga mencemarkan imej badan kehakiman.

Selain itu, beliau turut didakwa tidak patuh dengan peraturan dan pe­­keliling kerajaan berhubung isu penjualan kapal Equanimity dan melakukan kecuaian profesional dalam isu membabitkan tuntutan tanah di Tanjung Bu­ngah, Pulau Pinang.

Bekas Peguam Negara itu turut dikesan melakukan pecah amanah apabila mendedahkan per­bualan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu Perdana Menteri.

Berdasarkan laporan tersebut, Pasukan Petugas Khas berkata, terdapat kemungkinan buku itu melanggar beberapa peruntukan undang-undang dan boleh disiasat di bawah beberapa seksyen.

Dalam pada itu, Utusan Malaysia sebelum ini juga melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengemukakan empat kertas siasatan berhubung dakwaan salah laku Tommy kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dengan cadangan bekas Peguam Negara itu dituduh.

Polis pada mulanya membuka lima kertas siasatan terhadap bekas Peguam Negara berkenaan, namun hanya empat kertas siasatan yang diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

Kini, kata sumber itu, PDRM masih menunggu maklum balas daripada DPP untuk meneliti fakta kes dan menyemak kertas siasatan serta cadangan empat pertuduhan yang dikemukakan.

Pegawai penyiasat kes berkenaan juga sudah mengadakan perbincangan dengan DPP dan masih menunggu maklum balas selanjutnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN