Gugur calon, DAP hadapi pergeseran dalaman?

Gugur calon, DAP hadapi pergeseran dalaman?

pru15
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengguguran dua penyandang kerusi Parlimen DAP iaitu Wong Tack dan Charles Anthony Santiago daripada menjadi calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menimbulkan persoalan sama ada parti itu sedang menghadapi krisis dalaman.

Spekulasi mula timbul selepas DAP menetapkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari, Young Syefura Othman di Parlimen Bentong dan penyandang DUN Kota Kemuning, V. Ganabatirau di Parlimen Klang.

Menguatkan spekulasi apabila Wong Tack dan Santiago memberikan penjelasan bercanggah dengan kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berhubung pengguguran mereka.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook dalam satu majlis di Melaka kelmarin menjelaskan, Wong Tack berhadapan tindakan tegas termasuk digugurkan keahlian parti sekiranya meneruskan hasrat bertanding atas tiket Bebas, sejajar dengan dasar parti.

Beliau berkata, turut akan dibatalkan adalah cadangan untuk menamakan Wong Tack sebagai calon di Parlimen Cameron Highlands.

Dalam soal pengguguran Santiago, Anthony dalam wawancara bersama media tempatan memberitahu, penyandang Parlimen Klang itu digugurkan kerana sudah mengetahui bahawa pilihan raya umum 2018 adalah penggal terakhirnya sebagai calon.

Ketika ditanya mengapa perjanjian sedemikian dibuat pada 2018, Anthony menjelaskan yang Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo adalah individu yang lebih sesuai menjawab soalan berkenaan.

Bagaimanapun, Wong Tack dan Santiago menafikan penjelasan Anthony Loke dalam kenyataan masing-masing, semalam.

Wong Tack menafikan dakwaan DAP beliau tidak digugurkan sebagai calon, sebaliknya ditawarkan bertanding di Parlimen Cameron Highlands.

Penyandang Parlimen Bentong itu mendakwa, DAP Pahang pada 16 Oktober lepas memutuskan untuk mengeluarkan namanya daripada pencalonan di Bentong dan diberitahu tidak akan bertanding di mana-mana kerusi di Pahang.

Santiago dalam satu kenyataan menjelaskan, DAP tidak pernah memaklumkan pilihan raya umum 2018 menjadi peluang terakhir beliau diletakkan sebagai calon parti itu.

“Tiada percaturan sedemikian dan tiada petunjuk untuk menggantikan saya (atau siapa yang membuat percaturan ini) pada 2013 atau 2018, seperti yang dicadangkan oleh Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo.

“Saya gembira apabila Anthony Loke dan Gobind telah menerima keterbukaan saya untuk menerima keputusan parti, tetapi penjelasan mereka untuk membalas kritikan (berhubung pengguguran) mengundang kritikan awam.

“Terlalu sedih untuk saya menulis (kenyataan ini) kerana saya berazam untuk memastikan kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya ini serta melihat DAP berjaya, tetapi ini mengenai integriti saya dan isu ini perlu dijelaskan,” katanya.

Beberapa pimpinan DAP ketika dihubungi Utusan Malaysia bagaimanapun enggan mengulas perkara itu.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung ketika PRU14 menyifatkan, penjelasan Anthony Loke sudah mencukupi tanpa perlunya sebarang penambahan.

Gobind Singh yang juga Timbalan Pengerusi DAP pula hanya meminta persoalan tersebut ditujukan melalui aplikasi WhatsApp, namun tidak memberikan sebarang reaksi.

Dalam pada itu, bercakap kepada Utusan Malaysia, Veteran DAP, Dr. Tan Seng Giaw berkata, semua parti mempunyai strategi sendiri dalam mencari peluang untuk memenangi pilihan raya umum sekali gus membentuk kerajaan.

“Tetapi dalam pergolakan politik, apa sahaja boleh berlaku. Contoh yang boleh kita lihat adalah di United Kingdom apabila beberapa kali berlaku pertukaran Perdana Menteri dengan Liz Truss pun hanya enam minggu, jadi pergolakan di sana lebih hebat dari sini.

“Kalau strategi memihak kepada seseorang, individu itu gembira, tetapi kalau menentang hasratnya sudah tentu dia kecewa.

“Tetapi yang penting sekali, rakyat mesti pilih orang yang cintakan negara dan mereka yang mahu memelihara kepentingan rakyat. Itu saja kita berharap,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN