RUU Lompat Parti: Kabinet arah teliti semula

RUU Lompat Parti: Kabinet arah teliti semula

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jemaah Menteri telah mengarahkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dikaji dan diteliti semula dengan mengambil kira pandangan Kabinet selepas di­bentangkan dalam mesyuarat semalam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, dalam mesyuarat itu, mereka telah membangkitkan beberapa perkara tentang RUU tersebut.

“Selepas dibentangkan ke­seluruhannya oleh Peguam Negara, ada beberapa perkara yang dibangkitkan oleh Jemaah Menteri. Tetapi, mengikut peraturan saya tidak boleh lagi berkongsi perkara yang dibangkitkan Kabinet.

“Oleh itu, Jemaah Menteri membuat keputusan menghantarnya semula kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk kajian semula berlandaskan pandangan yang telah diberikan oleh jemaah menteri.

“Saya sudah beritahu perkara ini dimasukkan ke dalam salah satu agenda di dalam jawatankuasa pilihan khas nanti iaitu pandangan daripada jemaah menteri. Namun, secara keseluruhannya rang undang-undang ini sudah disokong oleh Kabinet,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau diminta mengulas perkembangan terkini rang undang-undang itu.

Dalam wawancara bersama media pada 26 Mei lalu, Wan Junaidi berkata, RUU Anti Lompat Parti atau Undang-undang Lara­ngan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti bakal dilaksanakan pada tahun hadapan jika dibentangkan di Parlimen Julai ini.

Katanya, rang undang-undang berkenaan boleh berkuatkuasa September ini sekiranya dibentangkan pada Sidang Khas Parlimen yang turut dicadangkan oleh pelbagai pihak supaya diadakan bulan ini.

Sejak selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), seramai 40 ahli Parlimen dilaporkan melompat parti dan terbaharu menyaksikan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin me­ninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×