Bukti kaedah PdPR tidak gagal - Anuar

Bukti kaedah PdPR tidak gagal – Anuar

KEMENTERIAN Pendidikan tidak pernah menetapkan kedudukan ranking sekolah berdasarkan keputusan SPM 2021 yang diumumkan baru-baru ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang cemerlang membuktikan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) berhasil.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, Gred Purata Nasional (GPN) menunjukkan pencapaian keseluruhan adalah baik walaupun ada sedikit penurunan berbanding 2020.

Katanya, pelajar yang menduduki peperiksaan SPM 2021 menghadapi pelbagai cabaran dan perubahan pembelajaran tetapi masih berupaya menjadi cemerlang.

“Sebagai perbandingan, tahun ini lebih baik berbanding keputusan 2017 dan 2018, malah setara dengan keputusan untuk 2019. Ini bermaksud, walaupun pelajar 2021 ini mengikuti sesi PdPR sepenuhnya selama dua tahun mereka masih cermelang.

“Pelajar-pelajar SPM 2021 ini juga adalah kohot pertama menggunakan kurikulum standard sekolah menengah (KSSM) yang baharu dan mereka juga adalah kumpulan yang berhadapan dengan 50 peratus soalan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

“Jika kita lihat kembali pada keputusan SPM 2017 dan 2018, pelajar daripada tahun berkenaan tidak menghadapi perubahan atau cabaran seperti pelajar tahun 2021. Malah, pelajar-pelajar tahun lepas masih mampu menangani keputusan dua tahun itu dan setanding dengan keputusan bagi tahun 2019,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Untuk rekod, seramai 9,696 calon SPM 2021 memperoleh keputusan cemerlang gred A dalam semua mata pelajaran dan membolehkan negara mencatat GPN pada nilai 4.86.

Sebelum ini, pelbagai pihak terutama ibu bapa melahirkan kebimbangan tentang keberkesanan melaksanakan PdPR ekoran penularan Covid-19, malah kaedah pembelajaran menerusi dalam talian itu dikatakan tidak berkesan dan menyebabkan pelajar keciciran.

Anuar sebaliknya beranggapan, keputusan SPM 2021 jelas menampakkan PdPR memberi kesan yang baik kepada pelajar dan tidak seperti diperkatakan oleh sesetengah pihak bahawa sesi pembelajaran tersebut adalah gagal.

“Ini agak menimbulkan kekeliruan pada kita kerana berdasarkan seperti apa yang disebut oleh kementerian bahawa perlaksanaan PdPR ini tidak berjaya tetapi apabila keputusan SPM 2021 keluar ia seolah-olah pelajar menafikan dakwaan tersebut.

“Malah, bilangan pelajar yang mendapat keputusan A bagi semua mata pelajaran seramai 9,696 pelajar, adalah antara bilangan tertinggi dalam sejarah pendidikan kita walaupun mereka ni menjalani sesi pembelajaran PdPR selama dua tahun,” jelasnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Dr. Mohd Nazri Abdul Rahman berkata, penurunan keputusan SPM bagi peratus gagal satu mata pelajaran dan lulus agak rendah.

Jelasnya, keputusan SPM 2021 adalah paling tidak dapat memberi gambaran tentang faktor dalaman pelajar mengikuti PDPR iaitu dari segi motivasi, komitmen dan kemampuan sebahagian besar pelajar yang dapat mengikuti sesi pembelajaran semasa pandemik.

“Wujud keperluan untuk melaksanakan analisis lebih mendalam terhadap pelajar yang cemerlang, lulus dan gagal untuk mengetahui adakah faktor keciciran pembelajaran semasa Covid-19 menjadi penyebab utama kepada keputusan ini.

“Jika benar, maka pelan tindakan pemulihan pendidikan perlu memberi keutamaan kepada kelompok ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN