KOTA KINABALU: Setiap kali hujan lebat, Mohd. Irfan Mazlan, 11, tidak mempunyai keberanian menaiki kenderaan kerana masih trauma dengan kemalangan yang meragut nyawa ibu bapa dan adiknya.
Detik-detik kemalangan yang meragut tiga anggota keluarganya hampir setahun lalu itu seolah-olah kembali menggamit memori ingatannya setiap kali ingin menaiki kenderaan semasa hujan lebat.
“Jika hujan renyai-renyai saya boleh lagi naik kereta namun kalau hujan lebat, saya tidak berani kereta sebab trauma dengan kemalangan itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman PPR Keramat, Putatan, di sini, semalam.
Mohd. Irfan dan tiga beradik lain terselamat dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 42, Jalan Kimanis-Keningau pada 31 Mac tahun lalu.
Kakaknya, Nursazzey Shazmika, 16, berkata, kemalangan itu seolah-olah berlaku semalam kerana kesan kepada pemergian ibu dan bapanya masih terasa.
Kakak sulung kepada lima beradik itu kini menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan bapa kepada adik-adiknya.
“Saya tidak rasa terbeban kerana nenek dan bapa saudara sentiasa ada di sisi kami empat beradik di rumah ini.
“Sekarang ini, jika arwah mummy masih ada, mummy pasti gembira melihat kakak berubah menjadi seorang yang rajin. Sekarang lepas subuh, kakak terus bersihkan rumah sebab dulu, kerja-kerja ini arwah mummy yang buat pada awal pagi,” katanya.
KUATKAN DIRI
Biarpun penat dan sakit pinggang mula terasa kesan daripada kemalangan itu namun, dia kuatkan diri kerana arwah ibunya tidak pernah merungut semasa membuat kerja-kerja rumah.
Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau itu berkata, sejak pemergian ibu bapa dan adiknya, setiap hari Jumaat, mereka empat beradik menziarahi kuburan untuk membacakan surah Yasin dan berkongsi kisah harian kepada ibu bapa mereka.
Biasanya nenek dan pak ciknya yang membawa mereka empat beradik menziarahi kubur dan ada kalanya mereka menggunakan khidmat Grab untuk ke sana.
“Selepas selesai solat juga saya sentiasa mendoakan semoga mummy, daddy dan adik Zila baik-baik sahaja di sana dan mereka sentiasa gembira di sana,” katanya.
Nursazzey berkata, apa yang paling dia menyesal ialah kerana pernah menyebabkan ibunya menangis kerana enggan membenarkannya keluar bersama kawan-kawan dan menyebabkan dia merajuk seharian.
“Jika boleh diundurkan masa, saya mahu menjadi seorang anak yang taat dan sentiasa menggembirakan ibu dan bapa,’’ katanya.
Ketika ditemui semalam, mereka ditemani neneknya, Naisah Mis, 60, dan adiknya Nurmia Syazmira, 7, manakala, adik bongsu mereka Nurnafisha Syazmiza, 5, sedang tidur. -UTUSAN










