KUDAT: Kerajaan negeri menggesa rundingan berhubung pembayaran tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah bagi tempoh 2022 hingga kini disegerakan, berikutan terdapat komponen hasil yang datanya jelas dan tidak dipertikaikan kedua-dua pihak.
Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Masidi Manjun berkata, tuntutan bagi tempoh berkenaan wajar diselesaikan terlebih dahulu tanpa perlu menunggu proses perundangan berkaitan tempoh terdahulu yang mungkin mengambil masa lebih panjang.
Beliau yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, perkara yang sedang dibicarakan di mahkamah ketika ini melibatkan tempoh 1974 hingga 2021 yang dikategorikan sebagai the lost years atau tahun-tahun yang hilang, berikutan keperluan mendapatkan dan meneliti data berkaitan.
“Bagi kita, perkara ini yang patut disegerakan kerana data beberapa item adalah jelas dan tidak dipertikaikan oleh kedua-dua pihak. Itu yang patut dibayar terlebih dahulu.
“Yang lain itu ialah the lost years yang menjadi kes mahkamah. Kita bersedia untuk mengambil masa yang lebih panjang untuk berunding,” katanya dalam sidang akhbar sempena Konvensyen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 2026 di Dewan Tun Mustapha di sini, hari ini.
Masidi berkata, Sabah menerima proses dan keputusan mahkamah, namun rundingan kekal sebagai saluran penting bagi menyelesaikan tuntutan berkenaan, khususnya bagi tempoh yang tidak menimbulkan pertikaian dari segi data.
Menurutnya, sokongan terhadap tuntutan itu perlu dilihat sebagai tanda kesepakatan rakyat Sabah supaya perkara berkenaan disegerakan, dan bukan semata-mata sebagai simbolisme politik.
Dalam perkembangan berkaitan, Masidi menjelaskan, peruntukan RM18 bilion yang diperuntukkan kepada Sabah dalam Belanjawan 2027 bukanlah keseluruhannya untuk pembangunan baharu, sebaliknya turut merangkumi kos pengurusan kementerian dan jabatan kerajaan Persekutuan yang beroperasi di negeri ini.
Katanya, sebahagian besar peruntukan berkenaan melibatkan perbelanjaan pengurusan, termasuk pembayaran gaji kira-kira 120,000 kakitangan awam Persekutuan yang bertugas di Sabah.
“Jadi, tidak tepat jika kita menganggap keseluruhan peruntukan itu boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah pembangunan negeri, termasuk isu bekalan air,” katanya.
Beliau berkata, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pendidikan antara jabatan yang memerlukan peruntukan besar, dengan kedua-duanya menggunakan lebih separuh daripada jumlah berkenaan bagi menampung keperluan pengurusan. – UTUSAN











