Kempen maya: Peratusan mengundi lebih tinggi? - Utusan Malaysia

Kempen maya: Peratusan mengundi lebih tinggi?

KEMPEN secara maya dikatakan mampu menarik minat pengundi untuk keluar mengundi seperti yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum di Singapura. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganalisis politik menjangkakan kadar peratusan keluar mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan lebih tinggi daripada sasaran 70 peratus meskipun kempen diadakan secara maya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Geostrategis, Azmi Hassan berkata, perkara ini terbukti semasa Pilihan Raya Umum Singapura tahun lalu yang mengehadkan kempen secara bersemuka bagi mengelakkan risiko penularan kes Covid-19.

Namun, katanya, walaupun kempen dilakukan secara maya, kadar peratusan keluar mengundi di republik itu mencatatkan 96 peratus, lebih tinggi berbanding 93 peratus pada pilihan raya tahun 2015.

“Kempen secara maya memberi keyakinan kepada pengundi bahawa keselamatan pengundi sentiasa diutamakan dan jumlah keluar boleh menjadi lebih tinggi daripada 70 peratus.

“Pada Pilihan Raya Umum Singapura tahun lalu, peratusan mereka keluar mengundi agak tinggi walaupun kempen dilakukan secara maya dan hari undian juga dilakukan ketika pandemik.

“Jadi, jika dikaitkan dengan kempen secara maya dengan kadar peratusan mengundi, seharusnya kadar peratusan menjadi lebih tinggi daripada apa yang disasarkan SPR,” katanya.

Beliau mengulas mengenai prosedur operasi standard (SOP) terbaharu yang sedang diperhalusi SPR bahawa PRN Melaka mungkin tidak akan membenarkan ceramah dan jelajah mesra atau walkabout, sebaliknya segala bentuk kempen perlu dibuat secara dalam talian dan menggunakan media sosial.

Pada masa sama, Azmi berpendapat, kempen secara maya tidak akan memberi kelebihan besar kepada parti kerajaan.

“Di Singapura tahun lalu, pihak pembangkang mereka mengatakan kempen secara maya akan memberi kelebihan kerajaan kerana parti PAP ketika itu mempunyai infrastruktur untuk mencapai pengundi dengan lebih baik daripada pembangkang, tetapi dalam pilihan raya sebenar, pembangkang mendapat kemenangan agak besar dan PAP banyak kehilangan kerusi.

“Jadi, kempen secara maya PRN Melaka nanti tidak semestinya memberi kelebihan kepada organisasi parti lebih besar seperti UMNO, Pakatan Harapan (PH) atau Bersatu, sebaliknya ia beri kesamarataan, malah individu bertanding secara bebas pun boleh menggunakan infrastruktur secara maya kerana orang ramai sudah biasa mendapatkan maklumat secara dalam talian,” katanya.

Dalam pada itu, penganalisis keselamatan dan politik, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berpandangan, kempen secara maya sepenuhnya membuka lembaran baharu dalam menarik perhatian pengundi.

“Melalui kempen secara maya, pengundi dapat mengelakkan daripada sifat simpati kepada calon, mengelakkan daripada mengharapkan untuk mendapat imbuhan atau habuan seperti kempen berbentuk fizikal sebaliknya pengundi hanya terikat dengan pencapaian calon tersebut.

“Pola pengundian akan membuka ruang ke arah baharu, membolehkan pengundi memilih calon yang mampu menyelesaikan masalah dan dapat membuat pilihan yang lebih tepat,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×