Intervensi kepada keluarga, bayi disyaki didera pengasuh - Utusan Malaysia

Intervensi kepada keluarga, bayi disyaki didera pengasuh

RINA HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil intervensi bersesuaian terhadap keluarga dan bayi yang dipercayai didera pengasuh dalam kejadian di Taman Desa Pelancongan, Ipoh, Perak. 

 

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, tindakan tersebut bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan bayi serta keluarganya terpelihara.

  

  Menurutnya, beliau amat kesal dengan situasi yang berlaku dan meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan sewajarnya.

 

  “Saya mengambil maklum penahanan seorang pengasuh wanita dituduh atas cubaan membunuh bayi berusia tujuh bulan dengan menghempas kepalanya sehingga tidak sedarkan diri.

 

  “Kes penganiayaan terhadap bayi sering kali menjadi isu hangat di dada akhbar dan jenayah ini wajar diberi tumpuan pihak penyiasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar si pelaku atau yang dituduh dapat dihadapkan ke muka pengadilan dengan segera bersandarkan pembuktian diperoleh PDRM,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

  Beliau berkata, insiden seperti itu boleh menjejaskan sedikit sebanyak kepercayaan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke rumah pengasuh mahu pun pusat penjagaan harian, lebih-lebih lagi dalam keadaan sektor-sektor pekerjaan sudah mula dibuka secara berfasa.

 

 “Ditambah pula dengan kebenaran pengoperasian semula pusat-pusat penjagaan harian kanak-kanak dan taska. Ibarat nila setitik, rosak susu sebelanga. 

  

“Insiden ini juga boleh memberi impak buruk terhadap pengasuh-pengasuh lain yang selama ini sentiasa memberi perhatian baik terhadap aspek pengasuhan serta kebajikan bayi,” katanya. 

 

  Dalam pada itu, Rina menasihatkan ibu bapa yang memerlukan perkhidmatan pengasuhan taska di rumah agar mendapatkan khidmat pengasuhan yang berdaftar dengan JKM di laman sesawang www.jkm.gov.my bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak. 

 

  “Saya juga memohon masyarakat awam segera membuat laporan kepada pihak berkuasa PDRM atau Talian Kasih 15999 dan talian WhatsApp 019-26 15999 yang beroperasi 24 jam apabila mengetahui atau mengesyaki apa-apa kes penderaan kanak-kanak. 

 

  “Masyarakat awam juga boleh membuat laporan di 108 Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) yang berdekatan di seluruh negara,” ujarnya. 

Semalam, seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan mengalami pendarahan pada kepala dipercayai didera pengasuh dalam kejadian di Taman Desa Pelancongan, Ipoh, Perak pada Rabu lalu. 

 

  Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata, kejadian disedari bapa mangsa selepas dihubungi pengasuh itu yang meminta mengambil bayi terbabit yang dikatakan terjatuh dari alat bantu berjalan atau ‘baby walker’.

 

  Berdasarkan maklumat awal, suspek warga tempatan itu dikatakan menghempas kepala bayi itu sebanyak dua kali ke lantai kerana mangsa tidak berhenti menangis dan suspek hanya berhenti melakukan perbuatan itu setelah menyedari mangsa tidak sedarkan diri. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN