PUTRAJAYA: Kerajaan memperkenalkan satu lagi pengesahan identiti rakyat Malaysia dikenali Identiti Digital Nasional (NDID) yang dilaksanakan secara berperingkat sebelum 2023.
NDID adalah proses pengesahan identiti seseorang secara elektronik berdasarkan ciri-ciri biometrik seperti 10 cap jari, pengecaman wajah, iris, suara, DNA dan pelbagai lagi ciri pengesahan lain melalui penggunaan pelbagai medium.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pengesahan berkenaan boleh digunakan melalui medium seperti telefon pintar, peranti elektronik, kad pintar, teknologi awan (cloud technology) dan lain-lain teknologi di masa hadapan.
Jelas beliau, NDID bakal digunakan orang awam, kerajaan dan syarikat perniagaan untuk mengesahkan identiti mereka ketika mendapatkan perkhidmatan melalui imbasan biometrik sekali gus membolehkan maklumat tersimpan dikeluarkan dengan pantas untuk sesuatu urus niaga tanpa perlu menunjukkan bukti pengenalan diri atau membawa fail dokumen peribadi.
“Strategi pelaksanaan sedang diperhalusi dan akan dimaklumkan pada masa sesuai. Perlu juga ditekankan bahawa penggunaan NDID tidak akan menghapuskan penggunaan MyKad sebagai dokumen pengenalan diri,” katanya di sini semalam.
Menurut Mustapa, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diberi tanggungjawab sejak November 2019 untuk menjalankan kajian dan menyediakan satu pelan tindakan bagi pelaksanaan NDID.
Katanya, cadangan Pelan Tindakan NDID turut mengambil kira maklumat daripada proses rundingan awam yang disiapkan pada penghujung tahun lalu.
Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan juga bakal memperluaskan tandatangan digital iaitu tandatangan elektronik yang digunakan untuk mengesahkan identiti penghantar atau penandatangan sesuatu mesej bagi memastikan sesuatu maklumat adalah betul dan sah di dalam transaksi elektronik.
“Penggunaan tandatangan digital yang diiktiraf perlu memenuhi beberapa kriteria seperti kerahsiaan (confidentiality), pengesahan identiti (identity authentication), tidak boleh disangkal (non-repudiation), dan integriti (integrity) sesuatu maklumat,” katanya.
Mustapa berkata, Akta Tandatangan Digital 1997 (ATD 1997) mula berkuat kuasa pada 1 Oktober 1998 dengan tujuan mengawal selia penggunaan tandatangan digital di Malaysia, menjamin keselamatan mengenai isu undang-undang berkaitan transaksi elektronik, dan mengesahkan penggunaan tandatangan digital melalui sijil perakuan yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Pemerakuan (PBP) berlesen.
Katanya, SKMM juga adalah pihak bertanggungjawab dalam mentadbir, menguat kuasa dan melaksanakan peruntukan di bawah ATD 1997 bagi tujuan pengawasan dan menyelia aktiviti PBP berlesen.
“Kedua-dua inisiatif ini penting untuk mengupayakan pelbagai transaksi rasmi dan komersial secara dalam talian agar menjadi lebih selamat, cepat dan tepat selain dapat mempermudahkan urusan dalam perniagaan dan kerajaan termasuk mengurangkan kerenah dan kos.
“Keupayaan menjalankan transaksi dalam talian secara cepat dan selamat memberi impak besar kepada perkembangan ekonomi digital. Ia akan mencetuskan pelbagai inovasi digital untuk memudahkan dan mempercepatkan pemberian perkhidmatan serta kelulusan urus niaga,” katanya.
Mustapa berkata, antara bidang utama yang bakal mendapat manfaat besar daripada pelaksanaan NDID ialah penyimpanan rekod kesihatan dan perkhidmatan kesihatan, sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan, keselamatan awam, aktiviti kewangan dan perbankan, kegiatan ekonomi gig serta e-dagang.
Sebagai contoh, untuk berurusan di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bank dan pengecaman keselamatan semakin mudah serta tidak perlu beratur panjang kerana penggunaan NDID mengurangkan masa untuk beratur dan menunggu.
Bagaimanapun beliau berkata, pelaksanaan NDID dalam peringkat penyelarasan melibatkan pelbagai agensi dan pindaan beberapa peraturan serta undang-undang dengan agensi pelaksana utama di peringkat kerajaan ialah Jabatan Pendaftaran Negara dan dipantau Kementerian Dalam Negeri. – UTUSAN










