Pengasas ‘Sugarbook’ dibebaskan - Utusan Malaysia

Pengasas ‘Sugarbook’ dibebaskan

LELAKI warga tempatan merupakan pengasas Sugarbook dibebaskan selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor menolak permohonan reman terhadapnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pengasas aplikasi ‘Sugarbook’ yang ditahan semalam dibebaskan selepas mahkamah hari ini menolak permohonan reman terhadap lelaki warga tempatan itu.

Permohonan reman terhadap lelaki berusia 34 tahun itu ditolak Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Noorasyikin Sahat.

1Lelaki yang bekerja sebagai usahawan itu diwakili tiga peguam iaitu Foong Cheng Leong, T. Shashi Devan dan Low Li Qun.

Ditanya alasan permohonan reman ditolak, Cheng Leong berkata, polis telah mengambil semua keterangan terhadap anak guamnya sejak ditahan, semalam.

“Anak guam saya telah memberikan kerjasama dan rakaman percakapan telah dibuat selain semua maklumat diperlukan telah diberikan. 

“Mereka juga boleh mengambil segala maklumat yang diperlukan melalui internet. Namun, sekiranya polis memerlukan maklumat lain, mereka boleh panggil dan kita akan berikan kerjasama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, lelaki terbabit yang memakai baju kemeja berwarna biru tiba di pekarangan kompleks Mahkamah Shah Alam di sini pukul 10.10 pagi dengan bergari dan dikawal anggota polis.

Lelaki terbabit ditahan perkarangan sebuah kondominium di Kuala Lumpur kira-kira pukul 4.30 petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, penahanan itu dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan IPD Shah Alam.

“Suspek yang ditahan beralamat di Minden Height Gelugor, Pulau Pinang akan direman pagi ini di Mahkamah Shah Alam.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku sebagai pengasas aplikasi Sugarbook. Setakat ini, kita menerima 74 laporan yang diterima di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya lagi, suspek juga disiasat dibawah Seksyen 372(1)(d) Kanun Keseksaan dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, media melaporkan Malaysia berada pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia di belakang India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan ‘sugar daddy’ paling ramai melalui aplikasi terbabit, yang menyediakan platform mencari perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai ‘sugar baby’. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya