M-Wez sediakan lebih 10,000 pekerjaan baharu - Utusan Malaysia

M-Wez sediakan lebih 10,000 pekerjaan baharu

SULAIMAN Md. Ali ketika berucap merasmikan Kursus Keusahawan Digital secara maya. - UTUSAN/HADI AB. MANAP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri mengumumkan lebih 10,000 peluang pekerjaan dan peluang perniagaan bakal tersedia hasil daripada mewujudkan koridor ekonomi baharu, Melaka Waterfront Economic Zone (M-Wez).

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md. Ali berkata, M-Wez yang meliputi kawasan tambakan pesisir pantai seluas 17,500 ekar di sepanjang 22 kilometer dari Umbai ke Tanjung Bruas di sini akan dilancarkan selewat-lewatnya bulan depan.

Beliau berkata, koridor pelaburan berimpak tinggi itu adalah setanding dengan yang lain seperti Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Malaysian Vision Valley.

“Bagi mengembalikan kegemilangan Melaka yang sejarah dahulunya pernah digelar ‘Venice of the East’, maka, kerajaan Melaka akan mewujudkan satu koridor ekonomi baharu, pelaburan berimpak tinggi.

“Di dalam M-Wez akan ada Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi, Pelabuhan Tanjung Bruas dan International Cruise yang mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan dan peluang perniagaan yang banyak disediakan untuk direbut oleh para usahawan negeri Melaka,” katanya ketika berucap merasmikan Kursus Keusahawan Digital secara maya di Institut Tun Perak (ITP) di sini, hari ini.

Yang turut serta Ketua Pegawai Eksekutif ITP, Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Keusahawanan Negara (Insken), Muhammad Firdaus Azharudin dan Pengarah Bahagian e-Commerce,  Song Hock Koon.

Menyentuh mengenai kursus itu, Sulaiman memaklumkan,  lebih 300 usahawan dan bakal usahawan seluruh Melaka telah menyertainya dan angka itu telah melebihi sasaran penganjuran.

“Saya juga diberitahu dalam kalangan peserta ini, ada yang baru nak mula, ada yang telah menjadi usahawan, ada yang dah usaha jadi usahawan tapi tak ‘jadi-jadi’ lagi.

“Dan tidak kurang juga yang sudah menjadi usahawan berjaya, termasuklah yang bergelar Datuk dan Dr. pun ada tetapi masih turut sertai kursus ini bagi menambahkan ilmu dan kemahiran,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya