SHAH ALAM: Satu garis panduan yang jelas dan tepat terhadap takrifan kesalahan berkaitan isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R) perlu diperkenalkan bagi membolehkan rakyat memahami kepentingan isu tersebut.
Malah, garis panduan itu juga diharapkan tidak berat sebelah dan sebarang pendakwaan dilakukan melaluinya tidak bersifat terpilih.
Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman dalam kenyataannya berkata, garis panduan tersebut penting untuk menentukan sesuatu yang sensitif atau menyinggung mana-mana kumpulan atau etnik yang tidak mempunyai tahap sensitiviti sama seperti kaum lain.
“Tanpa garis panduan itu, kekeliruan dan tindakan yang tidak konsisten tercetus sehingga mencetuskan persepsi terhadap favouritism atau ketidakadilan. Malah, individu atau kumpulan tertentu juga dengan mudah dianggap melakukan kesalahan 3R.
“Justeru untuk menegakkan undang-undang dan keadilan, kerajaan perlu memastikan undang-undang terhadap 3R dikuatkuasakan tanpa mengira latar belakang dan politik pihak terlibat,” katanya, hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP menjelaskan, garis panduan terhadap isu 3R bukan sahaja dapat melindungi sensitiviti pelbagai pihak, malah meningkatkan keyakinan terhadap sistem perundangan negara.
“Sudah tiba masanya kerajaan melakukan sesuatu dan membuat dasar jelas yang dalam masa sama dapat meningkatkan perpaduan dan keyakinan, serta mengelak daripada tindakan berpihak serta terpilih dalam penguatkuasaan undang-undang.
“Paling penting, ketelusan dan keadilan adalah kunci kepada keharmonian sosial Menjelaskan 3R dapat mengelakkan daripada isu tersebut terus dimainkan dan memastikan layan sama terhadap semua lapisan masyarakat di bawah undang-undang,” jelasnya. – UTUSAN










