Sijil halal: Polis siasat Teresa

Sijil halal: Polis siasat Teresa

TERESA KOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis akan mengambil keterangan daripada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung kenyataannya mengenai isu pensijilan halal yang dikatakan membebankan peniaga di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, satu kertas siasatan akan dibuka di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan selain Seksyen 505(b)Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) melibatkan isu berkaitan raja, agama dan kaum (3R).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Semua saksi termasuk pemimpin berkenaan akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Razarudin sekali lagi mengingatkan walaupun terdapat kebebasan memberikan pendapat yang dibenarkan melalui Perlembagaan Persekutuan, namun terdapat limitasinya.

Beliau berkata, PDRM menasihatkan semua rakyat tidak mengeluarkan kenyataan atau membalas kenyataan yang akhirnya boleh mencetuskan kegusaran awam dan mengapi-apikan antara kaum.

“Kenyataan bersifat sedemikian juga merupakan satu kesalahan yang termaktub di bawah Kanun Keseksaan iaitu kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

“Semua masyarakat diseru untuk menghayati prinsip Rukun Negara,” tegasnya.

Kelmarin, Teresa berkata, cadangan pelaksanaan pensijilan halal ke atas restoran makanan seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.

Menurutnya, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.

Ini kerana, Teresa mendakwa pengenalan pensijilan halal secara wajib akan menambahkan kos pentadbiran.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini