BUTTERWORTH : Polis dijangka memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung beberapa laporan polis yang diterima berkaitan krisis melibatkan institusi diraja Negeri Sembilan, bermula esok atau lusa.
Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
“Ya, kita ada menerima banyak laporan polis mengenai isu itu yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu. Jadi, kita akan ambil tindakan dengan menyiasat serta mengambil keterangan daripada mereka yang berkaitan termasuk Exco (Negeri Sembilan), mantan ahli-ahli Exco dan lain-lain.
“Jadi, apabila kita telah menyempurnakan kertas siasatan tersebut, kita akan kemukakan kepada AG (Peguam Negara) untuk tindakan selanjutnya.
“Di pihak kita, polis hanya menyiasat kerana yang membuat keputusan untuk sama ada nak ‘charge’ (dakwa) dan sebagainya adalah Peguam Negara,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan polis berhubung kemelut yang berlaku di Negeri Sembilan itu.
Terdahulu, Mohd. Khalid hadir pada Majlis Peluncuran ‘Projek Whitening the Blackspot’ oleh Kontinjen Polis Pulau Pinang di Pusat Konvensyen PICCA@Butterworth Arena di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Noor Hisam Nordin serta Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng.
Mengulas lanjut, Mohd. Khalid berkata, pihaknya bagaimanapun akan meneliti secara menyeluruh sebelum boleh menentukan peruntukan undang-undang manakah yang boleh digunakan untuk menyiasat kesalahan tersebut.
“Kita belum melihat perkara ini secara menyeluruh. Mungkin dalam beberapa (kes tertentu) ia ada kaitan dengan Akta Hasutan, mungkin ada dalam pelanggaran-pelanggaran (akta) yang lain. Ini memerlukan penelitian daripada semua pihak, terutama sekali daripada pihak AG Chambers (Jabatan Peguam Negara),” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, keadaan di Negeri Sembilan ketika ini bagaimanapun masih baik dan terkawal.
“Nampaknya masyarakat (di Negeri Sembilan) memahami keadaan ini dan memberikan kerjasama yang terbaik. Jadi, kita cuba mengekalkan suasana ini dengan sempurna demi keselamatan masyarakat dan juga rakyat di Negeri Sembilan, insya-Allah,” katanya.-UTUSAN











