KUANTAN: Majlis istiadat bersanding perkahwinan diraja bagi pasangan pengantin, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dengan pasangannya, FD Idzham FD Iskandar dijalankan dengan penuh adat istiadat Melayu di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz di sini hari ini.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Balai Mahkota bagi menyaksikan istiadat berkenaan.
Majlis turut diserikan dengan keberangkatan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang turut diiringi Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut bersama dalam majlis itu anakanda putera Sultan Pahang mengenakan baju sedondon berona biru diraja.
Turut kelihatan, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri, Datin Seri Burhah Mohamed serta seramai 110 kerabat bergelar dan tetamu jemputan.
Kedua-dua pasangan pengantin diraja anggun mengenakan persalinan berona putih dan tampil dengan penuh adat istiadat perkahwinan Melayu diserlahkan dengan kemasukan pengantin lelaki membawa bersama bunga latlat atau sireh latlat.
Majlis kemudiannya dimulakan dengan istiadat menyuap nasi semangat yang disempurnakan oleh kakanda Sultan Pahang, Tengku Puteri Seri Lela Wangsa, Tan Sri Meriam Almarhum Sultan Ahmad Shah.
Majlis seterusnya diserikan dengan istiadat merenjis yang mana anak keempat mantan Presiden Indonesia, Siti Hediati Hariyadi Soeharto mencuri tumpuan apabila turut menyempurnakan istiadat terbabit.
Istiadat bersanding terbabit kemudiannya diakhiri dengan kedua-dua ayahanda dan bonda pengantin perempuan berkenan mempersembahkan pancabicara kepada kedua pasangan sebagai tanda restu.
Pasangan pengantin kemudiannya berangkat ke acara memotong kek dan santapan yang mana letupan bunga api menjadi petanda berakhirnya tiga hari istiadat perkahwinan diraja yang berjalan sejak Khamis lalu.
Istiadat persandingan itu disiarkan secara langsung menerusi layar gergasi yang dipasang di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan Tasik KotaSAS.
Istiadat perkahwinan diraja itu dimulakan dengan istiadat akad nikah pada hari Khamis, diikuti istiadat berinai pada Jumaat dan bersanding pada Ahad. – UTUSAN










