ALOR SETAR: Lelaki Rohingya yang disyaki mengelar mati isteri dan dua anaknya pernah membawa keluarganya tinggal di bawah jejantas dan jambatan sebelum menjadikan bangunan terbiar di Pekan Simpang Kuala, di sini sebagai tempat berlindung.
Seorang peniaga kedai makan berhampiran tempat kejadian, Mohd. Nor Md. Desa, 62, berkata, dia menyedari kehadiran suspek, isteri dan tiga anak mereka di jejantas yang terletak berhadapan bangunan kosong itu.
Katanya, dia pernah terdengar bunyi tangisan kanak-kanak dari arah bangunan itu kira-kira seminggu lalu.
“Apabila hujan mereka masuk dan tinggal di dalam bangunan kosong itu. Kadang-kala saya tengok mereka tiada di sini kerana mungkin pergi ke tempat lain.
“Selepas dua ke tiga hari baru mereka akan pulang semula ke bangunan tersebut,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.
Menurut Mohd. Nor, keluarga itu juga sering berkunjung ke kedainya untuk membeli minuman dan makanan seperti teh panas dan roti canai.
“Suspek nampak biasa sahaja dan sering memegang buku warna hijau dipercayai surah Yasin. Saya tidak pernah berbual dengannya tetapi pernah bercakap dengan isterinya.
“Saya memang tidak sangka suspek sanggup bertindak kejam terhadap isteri dan dua anak kandungnya. Sebelum ini saya hanya pernah dengar tangisan anak kecil dan pergaduhan kecil dari bangunan terbiar itu” ujarnya.
Menurutnya, lokasi dua mayat ditemui dengan kedainya sejauh kira-kira 50 meter dengan bangunan kosong yang sebelum ini merupakan sebuah pasar raya turut menjadi sarang penagihan dadah.










