KEMAMAN: Seorang lagi mangsa yang hilang dalam kejadian bot karam dipercayai dilanggar tongkang di perairan Kemaman, di sini pagi tadi, ditemukan lemas.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, mayat lelaki yang dikenali Shahril Ismail, 50, ditemui terapung kira-kira pukul 1 tengah hari oleh nelayan yang turut membantu pencarian.
“Mayat mangsa ditemukan kira-kira lima batu nautika dari lokasi kejadian dan dibawa naik ke jeti kira-kira pukul 2.45 petang.
“Mayat lelaki yang ditemukan ini dipercayai sebagai Shahril yang merupakan pembantu tekong. Bagaimanapun, identiti sebenar mangsa akan dilakukan selepas pengecaman mayat dilakukan oleh keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian di Jeti Haji Pa, Kuala Kemaman di sini, petang ini.
Hanyan berkata, terdahulu mayat pertama iaitu Siti Zamimah Mohman Zobini,29, yang berasal dari Selayang, Selangor ditemukan kira-kira pukul 7 pagi tadi bersama lima lagi mangsa yang terselamat.
“Kita masih lagi berusaha mengesan dua lagi mangsa iaitu Yusof Kassam, 66, dan Aina Husna Mohamad Husaini, 25.
“Mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi tadi, bot dinaiki tujuh pemancing termasuk dua tekong karam selepas dipercayai dilanggar tongkang pada kedudukan tujuh batu nautika dari Kuala Kemaman. – UTUSAN










