PETALING JAYA: Tindakan tegas termasuk mengarahkan pengendali menghentikan operasi perlu diambil sekiranya hasil siasatan mendapati berlaku kecuaian, susulan dua insiden kematian membabitkan peserta aktiviti selam skuba di Pulau Tioman pada 12 dan 30 September lalu.
Presiden Persatuan Penyelam Skuba Malaysia (MSDA), Aminor Azmi Abdul Latip berkata, langkah berkenaan perlu diambil sekiranya siasatan turut mendapati berlaku pelanggaran peraturan atau aspek keselamatan oleh pihak pengendali.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) perlu bekerjasama rapat bagi memperkukuh pemantauan dan meningkatkan pemeriksaan berkala terhadap pengendali aktiviti selam skuba yang terlibat.
“Pengendali yang didapati melakukan kecuaian sedemikian tidak boleh dibiarkan terus beroperasi dalam industri ini. Sudah tiba masanya tindakan yang nyata dan tegas diambil.
“Keselamatan dan kesejahteraan penyelam serta semua petugas yang terlibat dalam aktiviti selam skuba rekreasi mesti sentiasa menjadi keutamaan.
“Kepentingan perniagaan tidak boleh mengatasi keperluan keselamatan ditetapkan atau menjejaskan amalan menyelam yang selamat dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada 30 September lalu, seorang lelaki warga Afghanistan, Mohammed Seyar Musazay, 55, yang menetap di California, Amerika Syarikat, meninggal dunia ketika menyertai selaman percubaan di perairan Kampung Salang, Pulau Tioman.
Beberapa minggu sebelum itu, seorang wanita warga India, Sabiya Shiek, 65, ditemukan lemas di perairan Pulau Renggis, Pulau Tioman, selepas menyertai selaman percubaan bersama keluarganya.
Aminor Azmi berkata, bagi mengenal pasti fakta secara adil tanpa membuat kesimpulan awal, siasatan perlu meneliti status profesional pengendali lesen operasi pusat selam serta tauliah profesional pengajar terlibat.
Jelasnya, aspek itu penting bagi memastikan reputasi negara sebagai destinasi utama selam skuba dan pelancongan marin sejak 40 tahun lalu tidak terjejas.
“Semakan perlu merangkumi status pembaharuan tahunan dan status aktif sijil Emergency First Response (EFR).
“Kedua, pengendalian operasi iaitu menilai nisbah pengajar atau penyelia kepada peserta, bilangan petugas, keadaan dan penyelenggaraan peralatan serta prosedur operasi yang digunakan untuk aktiviti tersebut.
“Ketiga, prosedur kecemasan iaitu meneliti prosedur tindak balas kecemasan yang disediakan dan sama ada tindakan di lokasi kejadian mematuhi prosedur keselamatan ditetapkan,” katanya. – UTUSAN











