GOPENG: Seorang kanak-kanak lelaki berumur dua tahun yang hilang ketika beriadah bersama keluarganya di Dataran Sungai Jahang, Kampung Jahang di sini ditemukan lemas pada pukul 10.29 pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata, kanak-kanak tersebut ditemui pada jarak kira-kira lima kilometer (km) daripada lokasi mangsa dipercayai hanyut.
“Operasi pada hari ini melibatkan bomba, polis dan komuniti berakit redah jeram pada pukul 8.30 pagi tadi.
“Operasi SAR difokuskan bermula dari Dataran Sungai Kampar di Jahang sehingga ke Jambatan Sg Kampar, Kuala Dipang dengan jarak anggaran 10km,” katanya.
Media melaporkan semalam seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun 10 bulan dikhuatiri lemas ketika beriadah bersama keluarganya di Dataran Sungai Jahang, Kampung Jahang di sini dalam kejadian petang semalam.
Bomba menerima panggilan pada 12.06 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng bergegas ke tempat kejadian. – UTUSAN










