GOMBAK: Kementerian Pertahanan (MINDEF) memberi jaminan insiden buli yang berlaku ke atas Pegawai Kadet Laut, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain tidak akan menimpa mahasiswa lain Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau percaya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memberi perhatian supaya perkara itu tidak berulang di semua universiti dan pusat-pusat pengajian di negara ini.
“UPNM sebagai universiti tertakluk di bawah KPT, tetapi daripada segi hubungan dengan Kementerian Pertahanan, kampus terletak dalam kawasan kita dan visi datang daripada kita.
“Jadi, kita juga beri perhatian dan sampaikan kepada pihak pengurusan universiti untuk pastikan ia tidak berlaku di masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gombak di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin (KLMO), di sini hari ini.
Katanya, kejadian berkenaan berlaku pada 2017 dan beliau percaya selepas itu tiada lagi insiden serupa.
“Saya percaya selepas itu tiada lagi perkara-perkara ini berlaku. Jadi, mungkin tindakan yang sewajarnya sudah diambil oleh pihak universiti,” katanya.
Pada 23 Julai lalu, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana membunuh rakan sepengajian mereka iaitu Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu.
Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi dan Muhammad Najib Mohd. Razi.
Tiga lagi ialah Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali.
Kesemua bekas pelajar itu kini berusia 28 tahun.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail memutuskan demikian selepas menghidupkan semula Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sebelum ini dipinda oleh Mahkamah Tinggi kepada Seksyen 304(a) iaitu kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat ke atas Zulfarhan.
Beliau yang bersidang bersama-sama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin sebulat suara membenarkan rayuan silang pendakwa raya agar hukuman penjara 18 tahun yang diputuskan terhadap mereka, digantikan dengan hukuman mati.
Mahkamah Rayuan berpendirian, keenam-enam bekas penuntut terbabit berniat jahat, zalim dan tidak berperikemanusian kerana sanggup membunuh Zulfarhan dengan cara dipukul dan didera menggunakan seterika wap panas.
PAS SERTAI KERAJAAN PERPADUAN?
Sementara itu, mengulas kenyataan Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub bahawa Pas berusaha meyakinkan Perdana Menteri untuk menerima parti itu dalam gabungan Kerajaan Perpaduan, Mohamed Khaled berkata, beliau tidak mengetahui perkara itu.
“Saya tidak tahu sebab saya tiada hubungan dengan Pas,” katanya.-UTUSAN










