SEREMBAN: Hobi mengumpul piring hitam bukanlah hanya dalam kalangan mereka yang sudah berusia namun semakin diminati generasi muda.
Begitu juga buat Muhamad Aidil Fakhri Ridzwan, 24, dari Taman Panchor Jaya di sini yang sejak usia 18 tahun sudah mula mengumpul koleksi piring hitam artis-artis tempatan.
Kata pemuda itu, minat berkenaan bermula dengan hanya mengumpul kaset-kaset kumpulan rock tahun 1990-an.
“Saya minat mengumpul kaset selepas diberikan oleh bapa saudara. Kemudian saya cari lagi di kampung dan menemukan beberapa keping piring hitam, di situlah timbulnya minat.
“Sedikit demi sedikit saya mula mencari piring hitam artis yang saya minat di pasar-pasar karat dan tempat menjual barangan antik. Ada juga yang beli secara dalam talian khususnya piring hitam artis yang sukar didapati di tempat lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menurut pekerja swasta itu, minatnya mengumpul piring hitam dan kaset lama turut didorong bapanya Ridzwan Darus, 57, yang juga merupakan peminat barangan antik.
“Sejak kecil saya sudah ikut ayah ke pasar-pasar karat dan kemudian apabila berada di dalam kereta, ayah sering putarkan lagu-lagu lama. Dari situ saya mula kenali penyanyi dan kumpulan muzik pada era itu,” katanya yang turut memberitahu piring hitam menyimpan lagu Bunyi Gitar nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee adalah koleksi paling disayanginya.

Sementara itu, Muhamad Aidil Fakhri berkata, dia akan terus dengan minatnya mengumpul piring hitam pada masa akan datang walaupun memerlukan sedikit belanja.
“Memang tidak terkira berapakah jumlah sudah saya belanjakan namun ini semuanya kerana minat. Walaupun sudah ada teknologi digital namun ada rasa sesuatu yang lain apabila mendengar lagu-lagu ini menerusi piring hitam.
“Ada juga lagu-lagu piring hitam ini yang jarang didengari, saya kemudian merakamnya semula dan memuat naik di Tik Tok dan menerima sambutan terutama dalam kalangan generasi muda,” katanya. – UTUSAN










