Air dari Empangan Mengkuang dilepas untuk kekalkan bekalan air - PBAPP

Air dari Empangan Mengkuang dilepas untuk kekalkan bekalan air – PBAPP

PBAPP kini melepaskan air dari Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) di Seberang Perai susulan paras Sungai Muda di Pulau Pinang menurun di bawah 2 meter.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Air dari Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) di Seberang Perai kini terpaksa dilepaskan susulan paras Sungai Muda di Pulau Pinang menurun di bawah 2 meter selama empat hari berturut-turut bermula Khamis hingga Ahad lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. K. Pathmanathan, pelepasan air dari EMD itu dilaksanakan untuk mengekalkan perkhidmatan bekalan air di seluruh negeri ini.

“Kapasiti pelepasan maksimum EMD ialah 600 juta liter sehari (JLH) dan PBAPP telah mula melepaskan purata 41 juta liter air sehari sejak Sabtu lalu untuk melengkapkan pengabstrakan air mentah dari Sungai Muda.

“Air mentah dari EMD dan Sungai Muda ini disalurkan ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, LRA terbesar dan terpenting di Pulau Pinang,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Pathmanathan, air terawat daripada LRA ini dipam kepada kira-kira 465,000 pengguna di seluruh Seberang Perai serta di daerah Timur Laut (DTL) dan daerah Barat Daya (DBD).

“Pelepasan harian EMD memastikan LRA Sungai Dua terus mengeluarkan purata 1,026.59 JLH air terawat,” katanya.

Dalam pada itu, Pathmanathan berkata, paras air Sungai Muda yang rendah di Pulau Pinang menyebabkan paras air di muka sauk PBAPP di Lahar Tiang, Seberang Perai, turun di bawah paras selamat 2 meter.

“Sehubungan itu, PBAPP telah mengabstrak purata 1,125.50 JLH air mentah dari Sungai Muda minggu lepas, berbanding 1,196.13 JLH ketika keadaan normal.

“Ketika keadaan normal, lebih 80 peratus air mentah yang diabstrak oleh PBAPP setiap hari datangnya dari sungai ini,” katanya.

Tambah beliau, PBAPP kini dalam keadaan berwaspada dan pengguna harus menggunakan air dengan berhemat.

“Setakat semalam, kapasiti efektif EMD adalah 90.5 peratus. Dengan pelepasan yang boleh didapati daripada EMD, paras Sungai Muda yang rendah sekarang seharusnya tidak memberi ancaman segera kepada bekalan air di Pulau Pinang.

“Bagaimanapun, PBAPP beroperasi dalam keadaan berwaspada dan memantau status Sungai Muda dengan berhati-hati kerana sungai ini merupakan sumber air mentah utama Pulau Pinang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×