GEORGE TOWN : Kapasiti efektif bagi Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang di Pulau Pinang buat pertama kalinya melepasi paras 90 peratus pada hujung tahun iaitu sejak 2017 apabila masing-masing merekodkan paras tertinggi sebanyak 93.4 dan 98.9 peratus, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, pada masa yang sama, rizab Empangan Mengkuang yang Diperbesarkan (EMD) juga merekodkan paras yang tinggi iaitu sebanyak 92.2 peratus berbanding 91.2 peratus yang direkodkan pada 1 Januari lalu.
Katanya, ini bermakna, kapasiti efektif bagi ketiga-tiga empangan utama di Pulau Pinang itu kini berada pada tahap optimum sehingga hari ini, menjelang musim kering akan datang yang dijangka bermula Januari depan.
“Faktor utama yang menyumbang kepada status optimum itu ialah jumlah hujan yang tinggi di kawasan tadahan air (KTA) empangan untuk tempoh antara September hingga November lepas terutamanya berikutan musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dipengaruhi oleh fenomena iklim La Nina.
“Selain itu, Pelan Tindakan Empangan Air Itam (AIDAP) oleh PBAPP bagi menyokong pengisian semula empangan secara lebih efisien dan pengisian semula strategik Empangan Teluk Bahang dengan air mentah yang disalurkan dari dua KTA iaitu di Batu Ferringhi dan Sungai Pinang juga menyumbang ke arah status optimum berkenaan.
“Dalam hal ini, protokol berterusan dilaksanakan bagi memaksimumkan abstraksi air mentah dari Sungai Muda serta meminimumkan pelepasan air daripada EMD kecuali dalam situasi kecemasan atau krisis,” katanya di sini, hari ini.
Untuk rekod, kapasiti efektif terendah yang dicatatkan oleh Empangan Teluk Bahang sepanjang tahun ini ialah pada 11 April yang lalu iaitu sebanyak 45.3 peratus manakala kapasiti efektif terendah bagi Empangan Air Itam pula adalah sebanyak 49.1 peratus yang direkodkan pada 14 Ogos lepas.
Sementara itu, Pathmanathan memaklumkan, dari sudut sumber air, Pulau Pinang masih berada pada kedudukan terbaik dalam tempoh lapan tahun untuk menghadapi musim kering yang akan datang.
Katanya, status yang memberangsangkan bagi tiga empangan utama ini juga memberi petanda positif terhadap kedudukan bekalan air negeri ini menjelang sambutan Krismas, Khamis ini serta Tahun Baharu 2026 tidak lama lagi.
Bagaimanapun katanya, taburan hujan yang menunjukkan trend penurunan mulai bulan ini di Pulau Pinang berbanding ramalan bahawa musim kering akan bermula sekitar minggu kedua dalam bulan Januari dan berterusan sehingga sambutan Thaipusam, Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri iaitu sehingga Mac perlu diberi perhatian.
“Sehubungan itu, pelepasan air yang ketara dijangka berlaku di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang bagi menyokong keperluan air semasa musim perayaan ini serta peningkatan kehadiran tetamu luar dan pelancong,” katanya yang berharap agar taburan hujan berlaku pada April dan Mei 2026 bagi mengisi semula rizab empangan berkenaan.-UTUSAN










