NIBONG TEBAL: Kekurangan diri tidak menghalang seorang pesakit strok dari Sungai Duri di sini untuk turut sama menunaikan tanggungjawabnya sebagai pemilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, hari ini.
Rosnah Ramli, 50, tiba di pekarangan Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Duri di sini dengan menaiki sebuah ambulans milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekitar pukul 11 pagi untuk mengundi.
Dia yang enggan ditemuramah pada mulanya bagaimanapun terbuka hati untuk berbual seketika bersama petugas media kerana tidak mahu menghampakan mereka yang sudah mula berkampung di pusat mengundi itu seawal pukul 7 pagi lagi.
“Sudah tiga tahun saya menghidap strok (di) bahagian kiri (anggota badan). Kalau ikutkan, memang tak boleh nak berjalan sangat sebab rasa mencucuk itu dari paras lutut.
“Jadi, anaklah yang menghubungi yayasan (NGO yang berkenaan) sejak seminggu lalu untuk memudahkan pergerakan saya ke pusat mengundi ini.
“Malah, ini adalah pengalaman pertama saya pergi mengundi dengan menaiki ambulans,” katanya kepada Utusan Malaysia sebaik sahaja selesai mengundi kira-kira 11.20 pagi, hari ini.
Seramai 39,151 pemilih berdaftar dijangka melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan membuang undi pada PRK DUN Sungai Bakap ini dengan 5,745 daripada mereka berdaftar di Pusat Mengundi Sk Sungai Duri, di sini.-UTUSAN










